YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, menitahkan kerajaan supaya bersiap sedia membawa pulang rakyat Malaysia di Sudan secepat mungkin sekiranya keadaan bertambah tegang.
Istana Negara dalam satu hantaran di Facebook rasmi memaklumkan perkara tersebut.
Menurut hantaran itu lagi, Seri Paduka turut menyeru seluruh rakyat Malaysia mendoakan keselamatan dan kesejahteraan rakyat Malaysia di Sudan berikutan krisis yang berlaku di negara itu.
“Baginda turut menyeru seluruh masjid mengadakan solat hajat dan doa selamat bagi memohon ihsan Allah SWT agar rakyat Malaysia berada di bawah lingkungan-Nya dan ketegangan di Sudang dapat dihentikan dengan segera,” katanya hari ini.
Terdahulu, Kementerian Luar mengesahkan 29 rakyat Malaysia yang dikenal pasti berada di Sudan dilaporkan berada dalam keadaan selamat.
Menterinya, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, berkata Wisma Putra mengikuti secara dekat perkembangan di Sudan bersama agensi kerajaan lain termasuk Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan beberapa agensi lain.
Menurutnya, ia bagi memastikan setiap rakyat Malaysia yang berada di negara itu terjamin selamat ketika konflik membabitkan dua pihak iaitu Tentera Sudan dan pasukan separa tentera, Rapid Support Forces (RSF).
Krisis di negara rantau timur benua Afrika itu bermula pada Khamis lalu apabila pasukan tentera kebangsaan menuduh RSF melakukan aktiviti yang menyalahi undang-undang.
Ketegangan ini membawa kepada pertempuran di Khartoum dan media melaporkan 10 askar dari kedua-dua pihak bertelagah itu maut manakala 30 orang awam juga terbunuh.
-EDISI9