LEMBAGA Urus Air Selangor (LUAS) mengenakan tindakan pemberhentian operasi serta-merta ke atas sebuah premis berikutan berlaku insiden pencemaran bau dikesan di Sungai Selangor.
Menurut kenyataan (LUAS), akibat pencemaran bau dua ton yang dikesan di sungai itu, pihaknya terpaksa menghentitugas Loji Pembersihan Air (LPA) Sungai Selangor Fasa 1 (SSP1), SSP2, SSP3 dan Rantau Panjang pada jam 11.45 malam tadi.
Katanya, pada masa sama, LUAS telah mengaktifkan Kod Merah kecemasan pencemaran sungai Negeri Selangor dan siasatan awal dilakukan bersama Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd.
“LUAS telah menerima laporan berhubung LPA SSP1, SSP2, SSP3 dan Rantau Panjang terpaksa dihentikan tugas pada jam 11.45 malam tadi, berikutan insiden pencemaran bau dua ton yang telah dikesan di Sungai Selangor.
“Berikutan itu, tindakan pantas mengaktifkan pengepaman air kolam alternatif (OPAK) di Bestari Jaya sebanyak 807 juta liter sehari (JLH) untuk meningkatkan kadar pencairan di Sungai Selangor.
“Dalam masa sama, pembinaan sementara pintu 5 Baraj Bestari Jaya juga dilakukan bagi tujuan mempercepatkan aliran ke hilir Sungai Selangor dan berjaya membantu meningkatkan pencairan dan pengoperasian LPA dengan segera,”menurut kenyataan itu, hari ini.
Menurut LUAS, daripada siasatan yang dilakukan mendapati pencemaran bau berlaku disyaki disebabkan sebuah premis kolam ikan yang telah melepaskan aliran air dari kolam tersebut ke Sungai Selangor.
“Pensampelan kualiti air telah dilakukan bagi tujuan analisa oleh Jabatan Kimia,”katanya.
Dalam pada itu, kata kenyataan itu lagi, siasatan mendapati pada Februari 2020, lokasi kolam ikan berkenaan pernah diberikan surat arahan untuk memberhentikan kerja serta merta dan melakukan kerja pembersihan namun kejadian pencemaran masih berulang.
“Tindakan tegas diambil terhadap premis tersebut dengan pemberhentian operasi serta merta sehingga menyediakan sistem rawatan efluen yang sempurna dengan tiada pelepasan discaj berbau ke Sungai Selangor.
“Empat LPA utama itu telah beroperasi semula sekitar pukul 4 hingga 6.30 pagi ini dengan siasatan menyeluruh di lokasi diteruskan bagi melakukan langkah kawalan serta mitigasi untuk mengelakkan punca pencemaran berulang.
“Pihak LUAS bersama agensi kerajaan negeri sentiasa bersiap siaga dalam Ops Sumber Air negeri Selangor dalam memastikan sumber air terpelihara,”kata kenyataan itu. – Edisi 9

