KONFEDERASI Bola Sepak Asia (AFC) mengecam sekeras-kerasnya tindakan provokasi tentera Israel ke atas pemain dan penonton dalam aksi perlawanan akhir Piala Abu Ammar, Balata FC menentang Jabal Al Mukabber di Stadium Antarabangsa Faisal Al Husseini, al-Ram pada Khamis lalu.
AFC dalam satu kenyataan berkata, badan induk bola sepak itu menggesa keganasan terhadap penduduk Palestine oleh tentera Israel dihentikan dengan segera.
“AFC meminta agar semua tindakan keganasan oleh tentera Israel terhadap rakyat Palestin dihentikan segera.
“AFC berdiri dalam solidariti teguh dengan Persekutuan Bola Sepak Palestin (PFA) dan komuniti bola sepak Palestin,” katanya.
Sebelum ini,perlawanan akhir itu terpaksa dihentikan lebih sejam apabila beberapa pemain termasuk penjaga gol Jabar Al-Mukaber, Rami Hamadi dan penyokong kelab Palestin berkenaan khasnya kanak-kanak dan wanita, mengalami sesak nafas akibat terhidu gas pemedih mata.
Rejim zionis itu telah menggunakan dua kenderaan perisai ketika menyerbu stadium dengan melepaskan gas pemedih mata di padang dan tempat penonton.
Keganasan tentera Israel itu telah menyebabkan penonton dan pemain mengalami kecederaan serta diberikan rawatan di tepi padang.
Perlawan bersambung pasukan Jabal Al-Mukaber muncul juara dengan kemenangan tipis 1-0 ke atas Balata FC, melalui jaringan Zaid Qombor. – Edisi 9