27.3 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Muhyiddin mengaku tidak bersalah enam pertuduhan

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Jumaat atas enam pertuduhan membabitkan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan rasuah RM232.5 juta dan dua kesalahan pengubahan wang haram berjumlah RM195 juta.

Muhyiddin, 76, yang juga bekas Perdana Menteri itu, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Azura Alwi.

“Saya mengaku tidak bersalah dan minta untuk dibicarakan,” katanya selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Mengikut pertuduhan, Muhyiddin sebagai seorang pegawai badan awam iaitu Perdana Menteri dan Presiden Bersatu menggunakan kedudukan untuk suapan iaitu wang RM200 juta, RM1 juta, RM19.5 juta dan RM12 juta untuk partinya daripada tiga syarikat serta seorang individu.

Kesalahan itu dilakukan di Pejabat Perdana Menteri, Blok Utama, Bangunan Perdana Putra, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Wilayah Persekutuan Putrajaya, antara 1 Mac 2020 hingga 20 Ogos 2021.

Pendakwaan mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Muhyiddin juga didakwa sebagai Presiden Bersatu menerima RM120 juta dan RM75 juta daripada sebuah syarikat yang dimasukkan ke dalam akaun CIMB Bank milik parti.

Kesalahan itu dilakukan di CIMB Bank Cawangan Menara KL, Jalan Stesen Sentral, di sini, antara 25 Februari 2021 hingga 8 Julai 2022.

Pendakwaan mengikut Seksyen 4(1)(b) dibaca bersama Seksyen 87(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama.

Kes tersebut dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Ahnad Terrirudin Mohd Salleh manakala pasukan pembelaan diketuai Datuk M Kumaraendran.

Hakim menetapkan jaminan RM2 juta dengan dua penjamin dan mengarahkan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai untuk pertuduhan Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009.

Jaminan dan syarat sama juga dikenakan terhadap pertuduhan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613).

Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 25 Mei depan. – Edisi 9

Terkini

Beras dibuang di tapak pelupusan sampah tidak selamat dimakan

BERAS yang didakwa dibuang di tapak pelupusan sampah di Temerloh, Pahang didapati telah rosak dan tidak sesuai serta tidak...

Lagi Artikel Berkaitan