30.1 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 25, 2024

Dr Farah Nini dilantik sebagai Pesuruhjaya Kanak-kanak bagi menganggotai Suhakam

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah memperkenankan pelantikan Dr. Farah Nini Dusuki sebagai Pesuruhjaya Kanak- Kanak bagi menganggotai Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) untuk tempoh tiga tahun.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, pemakluman itu adalah berdasarkan subseksyen 5 (2) Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia 1999 [Akta 597] dan berkuatkuasa 8 Mac lalu.

Menurutnya, kerajaan berharap dengan lantikan itu pelbagai isu kanak-kanak yang berlaku di Malaysia akan diberi perhatian yang lebih mendalam bagi memastikan hak asasi serta keselamatan dan kesejahteraan kanak-kanak di negara kita sentiasa terpelihara.

“Beliau (Farah Nini) mempunyai lebih 30 tahun pengalaman dalam bidang hak asasi manusia dan undang-undang berhubung kanak-kanak.

“Beliau kini seorang Pensyarah Kanan di Fakulti Undang-undang, Universiti Malaya sejak Disember 2007. Sebelum itu, beliau pernah berkhidmat di Ahmad Ibrahim Kulliyyah of Laws, Universiti Islam Antarabangsa selama 15 tahun.

“Beliau telah memperolehi PhD dari Universiti Cardiff, Wales, United Kingdom pada tahun 2002 dengan tesis yang menganalisa permasalahan sosio- perundangan bagi melindungi kanak-kanak daripada penderaan dan pengabaian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Advertisements

Ujar Azalina lagi, bidang-bidang kajian Farah Nini merangkumi perundangan mengenai pengadilan jenayah (criminal justice), undang-undang kanak-kanak (child law), perlindungan remaja dalam isu kesihatan reproduktif seksual serta pelaksanaan dan penguatkuasaan hak kanak-kanak di Malaysia.

Januari lalu, Azalina mencadangkan pelantikan pesuruhjaya kanak-kanak sepenuh masa untuk menangani isu berkaitan kanak-kanak, antaranya mereka yang perlu memberi keterangan sebagai saksi dalam kes jenayah.

Menurut beliau, pada masa ini pesuruhjaya kanak-kanak terletak di bawah Suhakam namun ada keperluan untuk ia dijadikan sebagai jawatan yang khusus.

Cadangan pelantikan pesuruhjaya kanak-kanak sepenuh masa itu ujarnya telah dibawa ke kabinet dan dipersetujui Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Untuk rekod, berdasarkan data Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-kanak (D11) Bukit Aman, setakat September 2021, terdapat 4,031 mangsa jenayah seksual dan 2,234 daripadanya adalah kanak-kanak.

-EDISI9

Advertisements

Terkini

Bantuan awal kepada waris mangsa nahas helikopter TLDM

KERAJAAN bersetuju menyalurkan bantuan awal sebanyak RM10,000 kepada setiap keluarga mangsa nahas dua helikopter milik Tentera Laut Diraja Malaysia...

Lagi Artikel Berkaitan