28.8 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Mahkamah tolak permohonan Zahid dapatkan pasport secara kekal

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi agar pasportnya dikembalikan secara kekal bagi membolehkan beliau menjalankan tugas rasminya.

Bagaimanapun, Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah membenarkan dokumen perjalanan peribadi Zahid dikembalikan buat sementara agar beliau boleh mendapatkan pasport diplomatik.

Sequerah berkata, Zahid, yang menghadapi 47 tuduhan rasuah, mesti mengembalikan pasport peribadinya kepada mahkamah sejurus selepas pasport diplomatik dibuat.

Ujar beliau, permohonan Zahid agar pasport peribadinya dikembalikan tidak dibenarkan kerana kedudukan semua orang atau tertuduh adalah sama rata mengikut undang-undang.

“Tiada perbezaan antara seorang tertuduh dengan yang lain. Justeru, permohonan (Zahid) agar pasport peribadinya dilepaskan secara kekal ditolak,” katanya.

Sequerah berkata beliau mengambil maklum bahawa tertuduh adalah timbalan perdana menteri dan menteri pembangunan luar bandar dan wilayah, tetapi menambah bahawa pelaksanaan tugas Zahid tidak boleh mengganggu perbicaraan kes itu.

Terdahulu, peguam Zahid, Hisyam Teh Poh Teik, memaklumkan mahkamah bahawa pihak pendakwaan tidak membantah permohonan itu.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Abdul Malik Ayob, menjelaskan bahawa pihak pendakwaan tidak membantah permohonan Zahid bagi membolehkannya mendapatkan pasport diplomatik.

“Bagaimanapun, kita perlu menegaskan bahawa pasport peribadi mesti dikembalikan ke mahkamah selepas pasport diplomatik dikeluarkan,” katanya.

Menurut permohonan yang difailkan pada 20 Januari lalu, Zahid turut memohon agar jaminan RM2 juta yang dikenakan terhadapnya dikekalkan selepas pasport antarabangsa itu dipulangkan.

Pasport Ahmad Zahid disimpan oleh Mahkamah sejak 2018 selepas didakwa atas pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram berkaitan dana Yayasan Akalbudi.

Ahmad Zahid didakwa atas 47 pertuduhan membabitkan 12 kes pecah amanah, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

Bagi pertuduhan pecah amanah, Ahmad Zahid didakwa menggunakan dana berkenaan untuk membuat enam pembayaran kad kredit milik persendirian, polisi insurans kenderaan dan lesen motor persendirian, kiriman wang kepada sebuah firma guaman dan sumbangan kepada persatuan bola sepak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Bagi lapan tuduhan rasuah, Ahmad Zahid didakwa menerima suapan daripada tiga syarikat iaitu Mastoro Kenny IT Consultant & Services, Data Sonic Group Berhad dan Profound Radiance Sdn Bhd sebagai dorongan untuk dirinya sebagai Menteri Dalam Negeri ketika itu bagi membantu syarikat berkenaan mendapatkan projek MyEG.

Ia bagi melaksanakan penambahan pembekalan cip pasport selama lima tahun atau 12.5 juta cip yang akan dimasukkan ke dalam halaman biodata polycarbonate Pasport Malaysia untuk Jabatan Imigresen Malaysia, sebagai pengendali perkhidmatan pusat sehenti di Pakistan dan Nepal di bawah kendalian Kementerian Dalam Negeri.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu juga berdepan 27 pertuduhan pengubahan wang haram dengan membabitkan diri dalam transaksi secara langsung membabitkan pendapatan daripada aktiviti haram antara 29 Mac 2016 dan 11 April 2018.

Beliau diperintahkan untuk membela diri atas kesemua pertuduhan itu pada 24 Januari 2022.

Perbicaraan kes itu akan bersambung April ini. 

-EDISI9

Terkini

Beras dibuang di tapak pelupusan sampah tidak selamat dimakan

BERAS yang didakwa dibuang di tapak pelupusan sampah di Temerloh, Pahang didapati telah rosak dan tidak sesuai serta tidak...

Lagi Artikel Berkaitan