25.4 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 25, 2024

Gempa bumi kuat di Turkiye, ratusan maut

Gempa yang melanda ketika awal pagi ketika musim sejuk turut boleh dirasai di Cyprus dan Lubnan.

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

GEMPA bumi kuat bermagnitud 7.8 menggegarkan tengah Turkiye dan barat laut Syria hari ini, mengakibatkan lebih 500 orang terbunuh dan mencederakan ratusan yang lain.

Gegaran juga meruntuhkan bangunan di seluruh wilayah itu sehingga pihak berkuasa terpaksa mengaktifkan operasi bagi mencari mangsa terselamat dalam sisa runtuhan.

Gempa yang melanda ketika awal pagi ketika musim sejuk turut boleh dirasai di Cyprus dan Lubnan.

“Kami semua bergoyang seperti dibuai. Terdapat sembilan orang di rumah. Dua anak lelaki saya masih di bawah sisa runtuhan. Saya sedang menunggu mereka,” kata seorang wanita yang tinggal di Diyarbakir dalam keadaan lengannya patah dan cedera di bahagian muka.

“Saya tidak pernah rasa seperti ini selama 40 tahun saya hidup. Kami bergoyang sangat kuat kira-kira tiga kali,” kata Erdem, seorang penduduk bandar Gaziantep di Turkiye, memetik laporan BH Online.

Sementara itu, Naib Presiden Turkiye, Fuar Okay, berkata seramai 284 orang maut, manakala 2,323 lagi mengalami kecederaan.

Selain itu, beliau berkata kerajaan juga mengarahkan pasukan keselamatan dan pesawat bekalan ke kawasan terjejas.

Kawasan terbabit juga diisytihar Amaran Tahap 4 yang mengkehendaki bantuan antarabangsa.

Advertisements

Di Syria yang teruk bergelumang dengan perang saudara lebih 11 tahun, seorang pegawai kesihatan memaklumkan lebih 237 orang terbunuh dan sekitar 600 cedera.

Kebanyakan mangsa direkodkan di wilayah Hama, Aleppo dan Latakia di mana banyak bangunan runtuh.

Berdasarkan rakaman video dipaparkan stesen penyiaran televisyen RTR dan CNNTurk menunjukkan bangunan empat tingkat musnah di wilayah Osmaniye serta Istana Gaziantep yang bersejarah rosak teruk.

Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan menghubungi gabenor lapan wilayah yang terjejas untuk mendapatkan maklumat situasi semasa serta usaha menyelamat.

Presiden Syria, Bashar al-Assad pula mengadakan mesyuarat Kabinet kecemasan untuk meneliti kemusnahan selain membincangkan langkah seterusnya.

Sementara itu, Amerika Syarikat (AS) melahirkan kebimbangan yang mendalam berhubung situasi di Turkiye dan Syria sambil menegaskan pihaknya memantau rapat keadaan, kata Penasihat Keselamatan Kebangsaan Rumah Putih, Jake Sullivan di Twitter.

“Saya sudah menghubungi pegawai kerajaan Turkiye untuk menyampaikan pendirian kita untuk membekalkan sebarang bantuan diperlukan,” katanya. – REUTERS

Advertisements

Terkini

Bantuan awal kepada waris mangsa nahas helikopter TLDM

KERAJAAN bersetuju menyalurkan bantuan awal sebanyak RM10,000 kepada setiap keluarga mangsa nahas dua helikopter milik Tentera Laut Diraja Malaysia...

Lagi Artikel Berkaitan