KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) akan terus mengenai pasti masalah kesesakan di Jabatan Kecemasan hospital termasuk perkara melibatkan mental dan fizikal yang dihadapi petugas kesihatan dan pesakit, “kata Menterinya Dr Zaliha Mustafa.
Beliau bagaimanapun mengakui sehingga kini masih berlanjutan berlaku kesesakan di jabatan berkenaan.
“Minggu lalu, beberapa pegawai saya meninjau salah satu Jabatan Kecemasan yang sesak di Lembah Klang.
“Setiap Jabatan Kecemasan mempunyai masalah tersendiri. Tinjauan yang dilakukan pegawai saya kali ini berbeza dengan Jabatan Kecemasan yang saya pergi sebelum ini di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR).
“Saya dimaklumkan, petugas barisan hadapan di jabatan ini terpaksa bertungkus-lumus merawat pesakit kerana ada pesakit yang sepatutnya dimasukkan ke wad, masih lagi berada di Jabatan Kecemasan.
“Kelewatan untuk memasukkan pesakit ke dalam wad akan memberi kesan kepada perkara lain.
“Oleh itu, saya meminta pegawai saya untuk usahakan perkara berikut iaitu mengenalpasti masalah kesesakan termasuk perkara melibatkan mental dan fizikal yang dihadapi petugas kesihatan dan pesakit.
“Selain itu, mengadakan perbincangan secara dalaman antaranya berkaitan petugas kesihatan serta membuka lebih banyak katil.
“Disamping memantapkan sistem pentadbiran hospital,” katanya dalam kenyataan di sini.
Beliau berkata, kebanyakan isu yang ada di Jabatan Kecemasan melibatkan isu-isu yang diwarisi dan sistemik.
“Tetapi ada antara isu tersebut boleh diselesaikan dengan mengadakan pertemuan bersama pihak berkaitan.
“Ramai petugas barisan hadapan bekerja melebihi masa semasa pandemik dan perkara itu berlanjutan apabila kita berdepan pula dengan lonjakan kes Penyakit Tidak Berjangkit pasca pandemik.
“Kami akan terus mendengar dan mencari penyelesaian terhadap isu-isu yang dibangkitkan secara dalaman serta melakukan libat urus bersama Kementerian Kewangan demi petugas barisan hadapan dan rakyat Malaysia,” katanya. – Edisi 9