27.3 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Wanita disyaki curi wang dan barang kemas suami ditangkap

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

SEORANG wanita diberkas polis kerana disyaki mencuri wang tunai dan barangan kemas milik suami dan mentuanya bernilai lebih setengah juta ringgit dalam kejadian di Taman Permatang Pasir Perdana, Alai, Melaka, awal bulan ini.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, penahanan wanita berusia 37 tahun itu dibuat pada Rabu lalu susulan laporan dibuat suaminya yang menjalankan perniagaan pinjaman wang berlesen.

Menurutnya, berdasarkan laporan, pengadu berusia 35 tahun itu menyatakan kehilangan hartanya itu disedari ketika dia pulang dari Kuala Lumpur ke rumahnya di Alai pada 4 Januari lalu.

“Ketika memeriksa dua peti besi miliknya sekitar pukul 6.30 petang di tingkat dua dan tiga, pengadu terkejut mendapati wang tunai hasil jualan harian berjumlah kira-kira RM520,000 lesap.

“Pengadu menyatakan di dalam dua peti besi itu juga terdapat wang tunai tidak diketahui jumlah dan barang kemas milik ibunya.

“Disebabkan tiada kesan kerosakan pada kedua-dua peti besi, lelaki itu mengesyaki wang tunai dan barang kemas itu dicuri oleh isterinya sendiri sebelum membuat laporan di Balai Polis Kandang, pada pukul 11.42 malam hari sama,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ujar Christopher lagi, bertindak atas maklumat laporan itu, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Cawangan D4 (Risikan/Operasi/Rekod Jenayah) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah menjalankan siasatan sebelum menahan suspek di sebuah rumah di Jalan Chengal 4, Taman Merdeka, Batu Berendam pada 25 Januari lalu, kira-kira pukul 9 malam.

Menurutnya, dalam serbuan itu polis turut merampas sebuah telefon bimbit daripada suspek.

“Suspek direman selama dua hari bermula 26 Januari lalu bagi membantu siasatan sebelum dibebaskan dengan jaminan polis semalam.

“Hasil siasatan awal, suspek ada memulangkan sebanyak wang tunai RM280,000 kepada iparnya namun dia turut membuat laporan polis di BP Kandang menafikan terbabit kes yang disiasat.

“Siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan, iaitu kesalahan mencuri dalam bangunan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda, jika sabit kesalahan,” katanya.

-EDISI9

Terkini

Beras dibuang di tapak pelupusan sampah tidak selamat dimakan

BERAS yang didakwa dibuang di tapak pelupusan sampah di Temerloh, Pahang didapati telah rosak dan tidak sesuai serta tidak...

Lagi Artikel Berkaitan