28.6 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

Pembersihan UMNO: Parti kena berani, tiada yang luar biasa

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

AHLI Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi menegaskan parti keramat tersebut perlu bertindak berani membuat keputusan memecat dan menggantung keahlian beberapa individu sepertimana tindakan individu tersebut yang berani memfitnah parti.

Malah ujar Puad lagi, tiada yang luar biasa dengan tindakan tersebut dan ia bukanlah sesuatu yang mengejutkan dalam mana-mana parti.

“Apakah ini mengejutkan. Parti kena berani sebagaimana mereka yang dipecat itu berani memfitnah parti. Bersatu juga memecat Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir. PKR pula memecat Datuk Seri Azmin Ali, Tian Chua dan Datuk Zuraida Kamaruddin. Tiada yang luar biasa.

“Luar biasa ialah tindakan Khairy Jamaluddin menghentam parti dan Presiden semasa kempen PRU. Parti jadi kambing hitam kononnya untuk meraih undi. Lagi luar biasa tindakan Hishamuddin (Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein),” katanya.

“Dia (Hishamuddin) tidak serik membelakangkan parti. Bawa Ahli Parlimen (MP) UMNO ke rumah Azmin Ali. Suruh Ketua Bahagian Sabah masuk Bersatu. Penggerak utama MP BN tanda tangan SD sokong Muhyiddin adalah Hishamuddin,” katanya.

Dalam pada itu, Puad mempersoalkan dakwaan anak muda akan lari dari UMNO susulan keputusan itu.

“Kita tanya balik, berapa ramai anak muda yang mereka bawa masuk untuk sokong perjuangan UMNO?

“Apakah ia demokratik? Ia diputuskan atas syor Lembaga Disiplin UMNO. Ia bukan keputusan Presiden. Cuma kali ini Presiden yang bawa syor tersebut pada MKT (Ahli Majlis Tertinggi).

Malah ujarnya, kebiasannya Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan (Timbalan Presiden UMNO) yang membawa syor Lembaga Disiplin.

“Noh Omar (Tan Sri Noh Omar) yang hadir mesyuarat MKT malam tadi keliru. Dia tuduh Presiden UMNO (Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi) buat keputusan sendiri.

Advertisements

“Ini berbeza bila Mahathir pecat Anwar Ibrahim. Tun M bawa ke MKT untuk pecat Anwar tanpa melalui Lembaga Disiplin.

“Noh Omar bukan dipecat kerana isu usul tiada pertandingan jawatan nombor satu dan dua. Dia dituduh sabotaj parti semasa PRU ke 15. Ada 16 laporan sabotaj terhadap Noh Omar.

Malah Puad turut menjelaskan sebab mengapa Khairy dipecat.

“Khairy memang melampau. Memburukkan parti dan Presiden semasa kempen PRU amat keterlaluan. Fitnah pengundi hantu semasa PAU UMNO 2022 berniat jahat.

“Apakah parti akan pecah? Itulah naratif yang akan dieksploit oleh sesiapa sahaja yang tidak berpuas hati. Tetapi parti sudah lama dipecah belahkan oleh mereka yang suka melawan keputusan parti.

“Selepas UMNO hilang kuasa di PRU ke 14 ada pemimpin menjauhkan diri dari UMNO. Takut terpalit dengan kluster Mahkamah. Mereka takut didakwa kerana telah dipanggil SPRM.

“Mereka duduk di luar pagar. Ada kalanya tikam parti dari belakang. Kini mereka dipecat atau digantung. Apa salahnya mereka sekali lagi duduk di luar pagar,” katanya.

Ujarnya lagi, dipecat amat menyakitkan tetapi keperluan.

“Kalau betul cintakan parti merayulah. Kalau tidak mahu merayu tunggulah enam tahun. Kecuali mereka sudah ada pilihan lain. Buatlah pilihan,” katanya.

-EDISI9

Advertisements

Terkini

Zahid, Muhyiddin sepakat batal saman, henti pertikaian peribadi

TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini membuat...

Lagi Artikel Berkaitan