31.8 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Timbalan pengarah hospital didakwa ‘songlap’ elaun Covid-19

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

TIMBALAN Pengarah (Pengurusan) Hospital Tuanku Fauziah (HTF) didakwa di Mahkamah Sesyen Kangar, Perlis hari ini atas 10 pertuduhan menyeleweng dan salah guna kuasa pemberian elaun Covid-19 bernilai RM4,000 oleh kerajaan negeri kepada petugas barisan hadapan tiga tahun lalu.

Tertuduh, Norhisham Hassan, 44, yang juga seorang pegawai tadbir dan diplomatik gred M52 mengaku tidak bersalah dan meminta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Norsalha Hamzah.

Berdasarkan pertuduhan, Norhisham didakwa menipu 10 kakitangan HTF dengan memperdaya mereka untuk mempercayai bahawa mereka sudah menerima bantuan ‘one-off’ elaun Covid-19 Kerajaan Negeri Perlis bagi 2020.

Tertuduh dengan curangnya mendorong setiap seorang mangsa untuk menandatangani dokumen rekod yang mengesahkan penerimaan wang bantuan bernilai RM400.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan berkenaan di HTF pada 27 April hingga 29 April 2020.

Oleh hal demikian, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 415 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang mana sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Rehab Abdul Shukur, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Rehab dalam hujahannya mencadangkan kepada mahkamah supaya tertuduh dikenakan jaminan RM5,000 bagi setiap pertuduhan.

Selain itu, tertuduh dikehendaki melapor diri di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Perlis setiap bulan.

Tertuduh bagaimanapun merayu kepada mahkamah supaya wang jaminannya itu dikurangkan memandangkan dia mempunyai komitmen lain selain pendapatan suaminya yang bertugas sebagai pembantu operasi agak kecil dan tiada barang kemas untuk digadai.

Mahkamah kemudian menetapkan tertuduh membayar RM4,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan yang dikenakan. Tertuduh membayar jaminan sebanyak RM40,000.

Norsalha turut menetapkan 7 Februari hadapan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Tertuduh sebelum itu dipanggil ke Pejabat SPRM Perlis petang semalam untuk membantu siasatan sebelum ditahan.

-EDISI9

Terkini

Bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar meninggal dunia

BEKAS Ketua Polis Negara (KPN), Tun Mohammed Hanif Omar meningggal dunia di kediamannya di Shah Alam, Selangor pagi ini. Allahyarham...

Lagi Artikel Berkaitan