Monday, July 20, 2026

Penjawat awam dapat bantuan khas Aidilfitri RM500 – MOF

Kerajaan juga akan mengawalkan pembayaran STR Fasa 2 untuk 9 juta penerima mulai 24 Mac 2025 (Isnin) dengan peruntukan sebanyak RM1.7 bilion

Mesti Baca

PARA penjawat awam Gred 56 dan ke bawah termasuk para pegawai serta kakitangan kontrak, pegawai sambilan dan lantikan MySTEP bakal menerima Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri (BKKA) sebanyak RM500 seorang.

Kementerian Kewangan (MOF) berkata, ia susulan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung keputusan kerajaan yang meluluskan beberapa bantuan khas kewangan sempena Hari Raya tahun ini.

Turut menerima bantuan khas ialah para pesara kerajaan sama ada pesara berpencen, penerima pencen terbitan, pesara KWSP, veteran berpencen serta veteran tidak berpencen akan menerima sebanyak RM250 seorang.

Menurut MOF, bantuan khas kepada penjawat awam dan pesara itu melibatkan implikasi kewangan mencecah RM900 juta.

“Bantuan Khas ini mengambil kira keperluan perbelanjaan rakyat dalam persiapan Hari Raya Aidilfitri.

“Peluasan asas hasil Kerajaan dalam penstrukturan semula kewangan awam telah memberi sedikit sebanyak ruang untuk berkongsi hasil negara secara saksama,” kata MOF dalam satu kenyataan hari ini.

MOF berkata, pembayaran BKKA akan disalurkan sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri dan akan memanfaatkan lebih 2 juta penjawat awam serta pesara.

Katanya, bantuan khas tersebut diharap dapat meringankan beban kewangan kepada penjawat awam dan pesara serta dijadikan sebagai pemangkin kepada mereka untuk terus berkhidmat dengan penuh dedikasi.

Sementara itu, dalam kenyataan berasingan, MOF berkata, kerajaan akan mula menyalurkan pembayaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 2 mulai 24 Mac 2025 (Isnin) dengan peruntukan sebanyak RM1.7 bilion berbanding RM1.5 bilion pada tahun lepas.

Beliau berkata, bagi STR Fasa 2, hampir 9 juta penerima yang terdiri daripada 60 peratus rakyat dewasa Malaysia bakal mendapat bantuan sehingga RM650.

“Kerajaan MADANI kekal peka akan keperluan golongan terbanyak dalam mengharungi beban kos sara hidup, lebih-lebih lagi menjelang Hari Raya Aidilfitri.

“Peningkatan peruntukan STR dan SARA pada tahun 2025 sebanyak RM3 bilion atau 30 peratus kepada RM13 bilion adalah ikhtiar untuk meningkatkan martabat hidup rakyat secara saksama,” kata Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kenyataan tersebut.

Katanya, penerima sedia ada dan penerima baharu yang berdaftar di dalam pangkalan data STR akan menerima pembayaran STR Fasa 2 melalui pengkreditan ke dalam akaun bank atau disalurkan secara tunai melalui Bank Simpanan Nasional (BSN) secara berperingkat mengikut kategori kelayakan STR masing-masing.

Katanya, pendekatan terkini kerajaan adalah membuka pendaftaran STR 2025 sepanjang tahun bagi memberi ruang kepada lebih ramai rakyat mendapat manfaat daripada bantuan kerajaan.

“Sekiranya nama pemohon tiada dalam pangkalan data STR, mereka perlu membuat permohonan bagi membolehkan proses verifikasi mengikut kategori kelayakan STR dimuktamadkan.

“Semakan status kelayakan STR dan soalan lazim (FAQ) boleh didapati di Portal Rasmi STR, melalui pautan https://bantuantunai.hasil.gov.my,” katanya. – Edisi 9

Terkini

AMH desak menteri, timbalan menteri BN letak jawatan

SEMUA menteri dan timbalan menteri dari Barisan Nasional (BN) didesak meletakkan jawatan masing-masing susulan tindakan parti itu yang secara...

Lagi Artikel Berkaitan