HUKUMAN lebih berat sepatutnya dikenakan ke atas seorang bapa tiri yang didapati melakukan perbuatan jijik terhadap anak tirinya, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri.
Beliau merujuk kes seorang lelaki berusia 56 tahun yang hanya didenda RM6,000 setelah mengaku bersalah merakam dan memiliki bahan lucah berupa video serta gambar bogel anak tirinya yang diambil ketika remaja berusia 15 tahun itu sedang mandi.
“Saya berharap dengan ruang yang ada, pihak yang bertanggungjawab dapat merayu terhadap hukuman tersebut.
“Pada pandangan saya, hukuman yang lebih berat wajar dikenakan ke atas perbuatan jijiknya sebagai seorang bapa tiri yang seharusnya menjadi pelindung kepada ahli keluarganya dan bukannya berkelakuan sedemikian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Lebih-lebih lagi, tegas beliau, kesalahan di bawah Seksyen 10 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 memperuntukkan hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya sekali.
“Saya rasa saya tidak keseorangan yang menganggap bahawa hukuman yang dikenakan adalah ringan berbanding kesalahaan yang telah dilakukan.
“Kita tidak boleh bertolak ansur terhadap sebarang bentuk eksploitasi dan gangguan seksual terhadap kanak-kanak,” katanya.
Jelas beliau, hukuman yang lebih tegas bukan sahaja memberikan keadilan kepada mangsa tetapi juga menjadi pengajaran dan peringatan kepada masyarakat bahawa perbuatan seumpama ini tidak akan diterima dalam dalam apa jua keadaan.
Dua hari lalu, seorang pekerja pembersihan dijatuhi hukuman denda RM6,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Muar kerana merakam dan memiliki bahan lucah iaitu video dan gambar bogel anak tirinya.
Tertuduh berusia 56 tahun didakwa memiliki bahan penganiayaan seksual kanak-kanak iaitu 18 rakaman video dan beberapa gambar bogel anak tiri berusia 15 tahun sedang mandi.
Perbuatan itu dilakukan di bilik pegawai penyiasat jenayah, IPD Muar antara 17 September hingga 21 Disember tahun lalu. – Edisi 9

