KERAJAAN Madani sekali lagi menunjukkan keprihatinannya terhadap kebajikan penjawat awam dengan mengumumkan Bantuan Khas Kewangan (BKK) tahun 2025 sebanyak RM500 kepada penjawat awam gred 15 dan ke bawah, termasuk lantikan kontrak.
Bantuan tersebut akan disalurkan pada 25 Februari ini sebagai penghargaan atas perkhidmatan mereka dalam memastikan kelancaran pentadbiran negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pembentangan Belanjawan 2025 menyatakan bahawa kerajaan turut bersetuju untuk memberikan BKK kepada pesara kerajaan sebanyak RM250.
Inisiatif ini bertujuan membantu penjawat awam dan para pesara kerajaan menghadapi cabaran kos sara hidup yang semakin meningkat.
Seorang pembantu makmal, Rahmah Yusof berkata, bantuan tersebut amat bermakna bagi mereka terutama dalam menghadapi kenaikan kos sara hidup pada masa kini.
“Terima kasih kepada kerajaan atas perhatian yang diberikan. Dapatlah kami gunakan sumbangan untuk keperluan kami,” katanya kepada Edisi 9.

Guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jati, Rohana Idris turut melahirkan rasa syukur dengan pemberian kerajaan itu.
“Guru SMK Jati sentiasa bersyukur dengan bantuan yang diberikan kerana sekurang-kurangnya ia dapat membantu meringankan sedikit beban.
“Harapan saya agar bantuan ini dikekalkan. Terima kasih, kerajaan Madani,” ujarnya.
Seorang lagi penjawat awam, Azmi Mohd pula mencadangkan agar kadar bantuan berbeza mengikut lokasi kerana kos sara hidup yang berbeza.
“Bantuan seharusnya ada perbezaan mengikut negeri. Negeri yang berada di bandar raya seperti Kuala Lumpur, Johor Bahru dan Pulau Pinang seharusnya lebih tinggi berbanding dengan penjawat awam yang berada di kawasan luar bandar.
“Ini kerana kos kehidupan yang tinggi amat membebankan dan dengan adanya bantuan seperti ini, amat-amat membantu mereka terutamanya dalam membuat persiapan awal persekolahan dan lain-lain,” katanya.
Bagaimanapun beliau tetap bersyukur dengan bantuan khas tersebut yang sedikit sebanyak meringankan beban mereka sekeluarga.
Bagi pesara, Fatimatun Zahrah Othman, beliau berterima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tetap mengingati jasa dan pengorbanan pesara kerajaan.
“Alhamdulillah, terima kasih kepada Anwar yang tetap mengenang jasa kami para pesarah. Sumbangan ini merupakan satu penghargaan buat kami,” kata bekas kerani sebuah sekolah di Johor itu.
Seorang pegawai farmasi, Khaireena Lukman turut melahirkan rasa bersyukur kerana penjawat awam bertaraf kontrak sepertinya juga mendapat BKK.
“Alhamdulillah, terima kasih Kerajaan Madani atas pemberian sumbangan khas ini. Kami yang bertaraf kontrak ini turut bersyukur atas ingatan kerajaan kepada kami. Terima kasih PMX,” katanya. – Edisi 9

