28.9 C
Kuala Lumpur
Wednesday, April 24, 2024

Jangan jadi juara, keluar kenyataan tak berasas – Shahidan

Sebagai Timbalan Belia dan Sukan, Adam Adli harus mempertahankan sukan dan bukan keluarkan komen-komen untuk memburukkan nama baik sukan dan badan-badan sukan.

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

“JANGAN sesekali nak jadi juara dengan keluarkan kenyataan yang tidak berasas dan kurang fakta,” itu pesan Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim.

Beliau berkata demikian sebagai peringatan kepada Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim baru-baru ini yang mendakwa bahawa badan sukan di negara ini dibelenggu gejala rasuah.

Dalam pada sama, Shahidan menyifatkan Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya itu sebagai orang baru dalam dunia sukan.

“Terlebih dahulu saya ingin memberitahu Timbalan Menteri Belia dan Sukan bahawa beliau adalah orang baru dalam dunia sukan.

“Jangan sekali-kali hendak menjadi juara dengan melemparkan kenyataan-kenyataan yang tidak berasas dan kurang fakta.

“Sila dapatkan maklumat lengkap bagaimanakah badan-badan sukan diuruskan oleh orang-orang yang dipilih,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Shahidan berkata, sebagai Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli harus mempertahankan sukan dan bukan keluarkan komen-komen untuk memburukkan nama baik sukan dan badan-badan sukan.

Advertisements

“Ini adalah kurang sihat dan tidak sesuai dikeluarkan oleh seorang Timbalan Menteri Belia dan Sukan.

“Sila buktikan badan sukan mana yang terlibat dengan rasuah. Jika tidak kami akan mengambil tindakan terhadap dakwaan yang tidak berasas ini,”katanya.

Sebelum ini, Adam Adli dilaporkan berkata, amalan rasuah dalam badan sukan di negara ini mesti ditangani bagi memastikan atlet dapat meningkatkan potensi sebenar mereka.

Katanya, tindakan mesti diambil untuk memastikan tiada lagi kerosakan berlaku akibat masalah korupsi selain menentukan sektor itu tidak dianaktirikan selepas ini.

Kenyataan Timbalan Menteri Belia dan Sukan itu turut mendapat kecaman daripada pihak berkepentingan dalam sukan negara, termasuklah Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

Presiden MOM Tan Sri Dr Mohamad Norza Zakaria berkata, kenyataan sedemikian adalah tidak wajar, tidak adil dan prejudis kerana pelbagai badan sukan negara berjaya melahirkan juara dunia dalam sukan masing-masing selama berdekad-dekad.

“Sebagai badan penaung 57 Persatuan Sukan Kebangsaan (NSA), MOM amat kecewa dengan kenyataan Adam Adli yang tidak mempunyai justifikasi dan tidak disokong oleh sebarang bukti,”katanya. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Piala Asia B23: Pemain muda balik tangan kosong dari Qatar

DUA minggu berkampung di Doha, Qatar untuk menyesuaikan diri dengan keadaan sehingga korbankan hari raya Aidilfitri bersama keluarga ...

Lagi Artikel Berkaitan