PEMUDA Barisan Nasional (BN) mengajak Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Adam Adli dan rakan-rakanya Pemuda Pakatan Harapan (PH) menyertai perhimpunan solidariti untuk Datuk Seri Najib Razak di Istana Kehakiman Putrajaya pada 6 Januari ini.
Ini kerana menurut Pengarah Komunikasi Pemuda BN, Neow Choo Seong, Adam yang sebelum ini cukup dikenali dan disanjungi anak-anak muda kerana memperjuangkan reformasi keadilan dan menentang kezaliman.
“Beliau juga mempunyai pengalaman luas mengetuai beberapa siri demontrasi jalanan suatu ketika dahulu.
“Maka, Pemuda BN ingin menjemput dan berharap Adam Adli dapat hadir bersama kami untuk menuntut keadilan dalam sistem perundangan negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Seruan itu sebagai maklum balas kenyataan Adam yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan yang menggesa Ketua Pemuda BN, Datuk Dr Akmal Saleh agar menarik balik kenyataan yang dibuat berhubung pengampunan penuh yang diterima Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Dalam kenyataan itu, Akmal bertanya kepada Peguam Negara sama ada pengampunan yang diterima Perdana Menteri Ke-10 itu pada 2018 lalu dibawa ke Lembaga Pengampunan atau sebaliknya.
Ini kerana, kata ADUN Merlimau itu, ketika Anwar menerima pengampunan penuh dari Yang di-Pertuan Agong Ke-15 ketika itu, Kabinet masih belum dibentuk.
Choo Seong berkata, seruan Pemuda BN kepada AMK itu juga selaras dengan kenyataan Anwar sendiri pada 21 Disember lalu yang menyifatkan terdapat kelemahan dalam beberapa kes pendakwaan yang dibuat selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) kerana dilakukan secara tergesa-gesa, serta didorong oleh kebencian, permusuhan dan dendam politik.
“Atas keikhlasan dan semangat Kerajaan Perpaduan, maka adalah wajar agar AMK dan sayap pemuda PH dapat bersama-sama dengan Pemuda BN dalam perhimpunan aman kali ini.
“Sebagai barisan pemimpin pelapis, kita semua mempunyai tanggungjawab untuk menegakkan keadilan sistem perundangan negara dan menghentikan amalan dendam politik yang bukan sahaja merugikan rakyat tetapi juga membazir sumber negara serta mencemarkan kemuliaan institusi kehakiman di negara kita,” katanya. – Edisi 9