Monday, July 20, 2026

Himpunan ‘Turun Anwar’ bukti demokrasi matang era Madani

Hari ini, sama ada yang berhimpun di ibu kota, yang memerhati di ceruk desa, atau yang menentang di ruang maya; kita semua telah mencorak suatu peristiwa penting.  - Adam Adli

Mesti Baca

HIMPUNAN ‘Turun Anwar’ yang digerakkan pembangkang yang berlangsung aman di ibu negara semalam membuktikan kematangan demokrasi di era pentadbiran Kerajaan Madani.

Pengarah Komunikasi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Adam Adli berkata, Kerajaan Madani telah menzahirkan ruang demokrasi yang bukan hanya dilaungkan, tetapi benar-benar dirasai. 

Beliau berkata, hak untuk berhimpun dan bersuara kini menjadi satu norma yang dihormati dan dilindungi.

“Di era Madani, pembangkang dan penyokongnya dibenarkan berhimpun secara aman di ibu kota tanpa gangguan, tanpa kekerasan. 

“Ini bukan kelemahan pentadbiran, ini kekuatan demokrasi sebenar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Adam berkata, kehadiran ribuan peserta demonstrasi tanpa pemedih mata, belantan dan perisai rusuhan adalah cerminan kematangan institusi.

ADAM ADLI

Malahan, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan penghargaan kepada anggota keselamatan di lapangan sekali gus mengangkat peranan anggota keselamatan sebagai komponen penting dalam ekosistem demokrasi negara.

“Hari ini, sama ada yang berhimpun di ibu kota, yang memerhati di ceruk desa, atau yang menentang di ruang maya; kita semua telah mencorak suatu peristiwa penting. 

“Kita sedang membina sebuah negara yang lebih terbuka, matang, dan adil.

“Inilah semangat Madani; ruang untuk rakyat bersuara tanpa takut, dan kerajaan yang bersedia mendengar tanpa angkuh,” katanya.

Adam yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan berkata, usaha  kerajaan dalam isu kos sara hidup, pembasmian kemiskinan, reformasi ekonomi, pendidikan dan pekerjaan adalah bukti komitmen berterusan kepimpinan negara.

Katanya, di pentas dunia, kepemimpinan Perdana Menteri dan kerajaan mulai berhasil mengangkat semula imej Malaysia sebagai sebuah kuasa ekonomi yang stabil dan diyakini negara luar pasca pandemik. 

“Peranan kita kembali diiktiraf, suara kita kembali didengari.

“Ini mungkin meresahkan pembangkang. Ketika kerajaan sibuk memulihkan negara, pembangkang ketandusan hala tuju,” katanya.

Lantas, kata beliau, strateginya dialihkan kepada mencipta ketidaktentuan dan permainan persepsi – tidak dengan dasar alternatif yang lebih baik, hanya serangan ke atas personaliti.

“PKR melihat himpunan ini bukan sebagai ancaman, tetapi lambang perubahan budaya politik yang dahulunya pernah dibelenggu pemerintahan kuku besi. 

“Perbezaan pandangan harus diraikan. Dalam demokrasi, suara yang menyokong mahupun menentang; kedua-duanya penting dan wajar dilindungi.

“Kerajaan telah membuktikan kemampuan untuk memelihara ruang demokrasi,” katanya — Edisi 9

Terkini

AMH desak menteri, timbalan menteri BN letak jawatan

SEMUA menteri dan timbalan menteri dari Barisan Nasional (BN) didesak meletakkan jawatan masing-masing susulan tindakan parti itu yang secara...

Lagi Artikel Berkaitan