AHLI perniagaan yang dikaitkan dengan isu mafia korporat, Victor Chin didakwa menggunakan strategi kotor untuk mendapatkan suaka politik di United Kingdom (UK) dengan menunjukkan konon dia menjadi mangsa.
Dakwaan itu dibuat Ahli Parlimen Sungai Buloh, Datuk Seri R. Ramanan dalam satu sidang media hari ini.
Menteri Sumber Manusia itu berkata, Victor yang kini berada di luar negara sengaja mencipta naratif kotor untuk mencemarkan imej PKR, ahli Parlimen parti itu dan Kerajaan Madani bagi mencapai tujuan tersebut.
‘’Semua itu, ia adalah strategi bagi menunjukkan (kononnya) dia adalah mangsa supaya dia boleh mendapat suaka politik di UK.
“Sebab itulah dia salahkan AMLA, dia salahkan SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia), dia salahkan Bank Negara Malaysia (BNM), dia salahkan polis, dia salahkan semua orang.
“Kalau kamu tidak membuat apa-apa kesalahan, pulanglah untuk disiasat. Jangan duduk di luar (negara dan) buat tuduhan liar untuk memburukkan orang lain.
“Kalau ada bukti, tunjukkan buktinya. Ini bukan satu gelanggang jenaka, bila anda mahu keluarkan kenyataan macam ini, anda keluarkan sesuka hati anda.
“Saya telah mengarahkan ahli-ahli PKR khususnya di Sungai Buloh untuk membuat laporan polis, biar polis yang siasat,’’ katanya seperti dilapor Utusan Melayu Plus hari ini.
Semalam, melalui satu dokumen setebal 40 muka surat, Victor mendakwa ada ahli Parlimen PKR memintanya menyediakan wang tunai RM10 juta bagi menyelesaikan masalah ahli perniagaan itu.
Dia mendakwa telah membayar sebanyak RM9.5 juta kepada ahli Parlimen berkenaan pada 18 Oktober tahun lalu dan mengancam akan mendedahkan nama ahli politik berkenaan jika gagal memulangkan wang tersebut menjelang 30 Mac.
Ramanan yang juga Naib Presiden PKR turut mempersoalkan sama ada Victor cuba menjatuhkan kerajaan melalui tuduhan-tuduhan liar seumpama itu.
“Victor Chin sebelum ini kata polis memburunya, kemudian BNM dan kini mendakwa seorang ahli Parlimen PKR pula terlibat. Setiap hari ceritanya berbeza,” katanya.
Sambil menunjukkan gambar Victor dengan individu tertentu dan menyebut beberapa nama syarikat yang menjadi mangsa ahli perniagaan berkenaan, Ramanan mendakwa, lelaki tersebut bukanlah mafia korporat yang dimaksudkan.
“Banyak dakwaan yang dibuat mengatakan dia adalah korporat mafia. Saya nak betulkan dia bukan mafia korporat.
“Kalau kita baca dalam internet mafia ini ada kod etika dan prinsip, tapi Victor Chin adalah ‘devil corporate’ (syaitan korporat). Dia tidak ada belas ihsan.
“Yang kelakar, individu-individu di luar sana, mainkan (menggambarkan) dia ini seperti malaikat, (sedangkan) beribu-ribu orang yang hilang simpanan untuk kelangsungan hidup disebabkan manipulasi saham oleh beliau,’’ katanya.
Ramanan berkata, ramai individu yang mempunyai waran tangkap sebelum ini telah kembali ke tanah air untuk menghadapi pertuduhan dan bersedia mempertahankan diri di mahkamah.
“(Oleh itu) tidak mengapa kalau dia (Victor Chin) masih mahu menganggap dirinya tidak bersalah, (tetapi) berhenti hisap curut di luar negara, balik ke Malaysia, jika betul kamu tidak bersalah.
“Jangan duduk di luar negara hisap curut dan bersembunyi. (Jangan risau) Negara ini ada undang-undang-undang. Tiada apa-apa akan berlaku,” katanya.

