PAS menuntut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengemukakan bukti selepas mendakwa Perikatan Nasional (PN) menggunakan dana daripada syarikat perjudian dalam kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, sekiranya Perdana Menteri gagal mengemukakan bukti terhadap tuduhan berkenaan pihaknya sedia mengambil tindakan undang-undang.
Takiyuddin turut menafikan dakwaan berkenaan dengan menyifatkannya sebagai fitnah dan tidak berasas serta menganggapnya sebagai tuduhan liar semata-mata.
“Pas amat kesal dengan tuduhan berunsur fitnah yang dikeluarkan oleh Perdana Menteri kerajaan Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang membayangkan kononnya dana pilihan raya PN datang daripada syarikat perjudian.
“Tuduhan itu langsung tidak berasas dan PAS menuntut Perdana Menteri PH memberikan bukti yang nyata terhadap tuduhan liar berkenaan jika ada.
“Sekiranya gagal, PN akan meneliti suatu tindakan perundangan terhadap pihak yang memfitnah,” katanya dalam kenyataan, malam tadi.
Terdahulu, Anwar dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet semalam membayangkan sebahagian dana pilihan raya PN datang daripada syarikat perjudian. – Edisi 9