PENGUNDI tidak lagi dibenarkan membawa telefon bimbit ketika membuang undi di dalam bilik pengundian pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Sabtu depan.
Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) mengumumkan larangan itu melalui infografik Langkah Pengundian yang dimuat naik di akaun Facebook, di sini.
Melalui infografik itu, jelas menunjukkan langkah keenam pengundi perlu menyerahkan telefon bimbit sebelum menanda kertas undi di petak undi.
“Bergerak ke meja Ketua Tempat Mengundi (KTM) untuk meninggalkan telefon bimbit,” menurut infografik itu.
Selesai memasukkan kertas undi ke dalam peti undi, pengundi boleh mengambil semula telefon bimbit daripada KTM itu tadi dan keluar meninggalkan ruangan tersebut.
Ini bermakna pengundi tidak dibenarkan merakam gambar atau video dengan kertas undi yang diterima di ruangan tersebut.
Mac lalu, Parlimen diberitahu kerajaan tidak akan menghalang pengundi untuk membawa telefon pintar ketika proses pengundian dijalankan dalam pilihan raya dan menyifatkan tiada keperluan untuk kerajaan melaksanakan larangan tersebut pada masa kini.
Sebelumnya perkara itu dibangkitkan susulan tular di media sosial perkongsian kertas undi pilihan raya negeri.
Baru-baru ini, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dilaporkan menyarankan SPR untuk mengenakan larangan itu bagi mengelak budaya rasuah. – Edisi 9