PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengadakan pertemuan dengan Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS), Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg bagi membincangkan penubuhan kerajaan Persekutuan.
Dalam pertemuan yang diadakan di kediaman bekas Perdana Menteri itu turut disertai oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
PN yang memperoleh 75 kerusi memerlukan kerjasama daripada GPS yang memperoleh 22 kerusi dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) bagi mencukupkan bilangan majoriti.
Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu berkata, pihaknya juga sedang berunding dengan parti-parti lain yang sehaluan dengannya serta ahli-ahli Parlimen bebas.
“Pagi ini saya menerima kunjungan YAB Tan Sri Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Abang Haji Openg, Premier Sarawak dan YB Tan Sri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Presiden PAS untuk membincangkan pembentukan Kerajaan Persekutuan.
“Rundingan juga sedang dibuat dengan parti-parti lain yang sehaluan dan Ahli Parlimen bebas. Insya-Allah, Kerajaan Persekutuan akan dapat dibentuk dalam masa terdekat,” katanya.
Terdahulu, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Ghani Salleh berkata, tiada mana-mana parti politik memperoleh majoriti 50 peratus daripada 219 kerusi Parlimen yang dipertandingkan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) untuk membentuk kerajaan.
Menurutnya, sehingga pukul 4.30 pagi tadi, Pakatan Harapan (PH) memperoleh 76 kerusi Parlimen di seluruh negara.
“Perikatan Nasional (PN) memperoleh 51 kerusi, BN (30), Gabungan Parti Sarawak (GPS) (22), Pas (22), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) (enam), DAP (lima) dan Warisan (tiga),” katanya.
Menurut beliau, Muda dan Parti Bangsa Malaysia (PBM) masing-masing memperoleh satu kerusi Parlimen manakala Bebas dua.
Jika rundingan dengan BN berjaya, Muhyiddin dijangka dapat membentuk kerajaan dengan 131 kerusi di Parlimen termasuk kerus-kerusi yang dimenangi oleh Pas, GPS dan GRS.
-EDISI9