24.9 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 27, 2024

Manifesto BN tawar 99 Perancangan Amal dan Usaha (PADU)

BN akan menjanjikan pendidikan tinggi percuma kepada anak golongan B40 di semua universiti awam atau intitusi pengajian tinggi awam (IPTA) di negara ini.

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

BARISAN Nasional (BN) menawarkan Perancangan Amal dan Usaha (PADU) jika parti itu menang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada 19 November ini.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, PADU adalah tawaran baharu yang segar atau ‘a new and fresh deal’ daripada BN.

Menurutnya, dalam PADU terdapat 99 amal dan usaha BN yang akan menjadi panduan mengemudi tanah air menjadi negara berkemajuan.

“PADU bukan janji manis dan indah. PADU bukan tentang segala-galanya percuma. PADU bukan tentang pemansuhan dan pengurangan tanggungjawab dalam serba serbi.

“Tetapi, PADU adalah pelan yang serius dan rasional. Pelan yang mempunyai sasaran yang jelas dan pelan yang BN akan amal dan usahakan dengan sebaiknya demi kemaslahatan semua,” katanya pada Pelancaran PADU secara dalam talian malam ini.

Dalam pada itu, Zahid menegaskan, antara digariskan dalam PADU adalah penyelesaian nasional yang komprehensif bagi menjawab pelbagai isu paling mendesak seperti kos sara hidup tinggi.

“Padu akan melakukan revolusi besar-besaran dalam sistem pengagihan bantuan di seluruh negara dengan memperkenalkan skim bantuan pendapatan asas kepada semua isi rumah berpendapatan kurang RM2,208.

“Kerajaan akan mengkreditkan atau memasukkan secara automatik sebagai tambahan pendapatan bulanan bagi memastikan semua isi rumah mempunyai sekurang-kurangnya RM2,208 sebulan.

“Skim ini akan hadir sebagai jalan paling adil, munasabah dan strategik. Bukan sahaja bagi menangani kos sara hidup yang sangat membebankan tetapi juga memastikan tiada lagi isi rumah terpaksa hidup di bawah garis kemiskinan,” katanya pada pelancaran manifesto BN yang disiarkan secara langsung, malam ini.

Selain itu, Zahid berkata, BN akan memberi potongan cukai pendapatan dua peratus kepada golongan M40 dan kumpulan pembayar cukai antara RM50,000 hingga RM100,000.

Selain itu, Zahid menyatakan BN akan menjanjikan pendidikan tinggi percuma kepada anak golongan B40 di semua universiti awam atau intitusi pengajian tinggi awam (IPTA) di negara ini.

Advertisements

Malah menurutnya, manifesto berkenaan turut menawarkan sistem pengajian anjal iaitu 50 peratus pengajian di kampus dan 50 peratus secara dalam talian.

“Janji itu adalah sebahagian usaha serius BN untuk membasmi kemiskinan secara strategik, adil dan bersifat jangka panjang.

“Selain pengajian tinggi percuma kepada semua individu dari kelompok B40, universiti awam atau IPTA di negara akan menawarkan sistem pengajian anjal iaitu 50 peratus pengajian di kampus, dan 50 peratus lagi secara dalam talian atau jarak jauh, yang sekali gus mengurangkan sehingga separuh kos pengajian.

“Malah, selepas ini, bagi menghapuskan eksploitasi, semua mahasiswa atau sesiapa sahaja yang melakukan latihan amali atau internship akan diwajibkan bayaran elaun oleh majikan.

“Perkara ini kita usahakan kerana kita sedar, pendidikan bukan sahaja pertahanan terbaik, malah senjata ampuh dalam memerangi kekurangan serta kesenjangan hidup,” katanya.

Malah, komitmen BN dalam pendidikan awal juga dijelaskan dalam manifesto yang diumumkan malam ini.

BN berjanji untuk menyediakan sistem asuhan dan pendidikan awal nasional percuma kepada semua kanak-kanak berusia enam tahun dan ke bawah.

Melalui manifesto itu, selain sistem sekolah rendah dan sekolah menengah, Malaysia akan turut mempunyai sistem pendidikan awal dan asuhan percuma di seluruh negara.

Ahmad Zahid menjelaskan, melalui sistem pendidikan itu, ia tidak lagi bersifat serpihan atau bergantung kepada budi bicara atau tahap kemampuan ibu-bapa, sebaliknya diwujudkan sebagai sebuah sistem universal yang tersedia untuk semua di seluruh negara.

“Ia akan mengurangkan sebahagian besar kos penjagaan dan pendidikan kanak-kanak di seluruh negara serta menjadi bukti komitmen dan pelaburan besar negara dalam memastikan asuhan dan pendidikan awal dilakukan dengan cara terbaik,” katanya.

-EDISI9

Advertisements

Terkini

Tugas banteras rasuah lebih mencabar, penjenayah makin licik

TUGAS membanteras kegiatan rasuah di negara ini semakin mencabar memandangkan jenayah tersebut bersifat unik, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan...

Lagi Artikel Berkaitan