25.3 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

BN sokong usul undi percaya Anwar – Zahid

BN akan terus menyokong penuh sebagai tanda menjunjung titah Yang di-Pertuan Agongbagi pembentukan kerajaan baharu

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

BARISAN Nasional (BN) akan menyokong usul undi percaya kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim agar keabsahan Perdana Menteri dimuktamadkan dan pihak yang cuba mempertikai akan senyap.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, walaupun langkah Anwar untuk mengadakan undi percaya semasa sidang Parlimen penggal Ke-15 bermula 19 Disember ini sebagai berisiko, namun itu adalah proses demokrasi yang perlu dilalui.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, BN akan terus menyokong penuh Perdana Menteri sebagai tanda menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bagi menyokong pembentukan kerajaan baharu ini.

“Apabila pelantikan Perdana Menteri ke-10 sudah diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong, maka semua pihak perlu menghormati keputusan dan kebijaksanaan tersebut.

“Tidak perlu lagi pihak mempertikaikan keputusan pelantikan oleh Yang di-Pertuan Agong dan Istana Negara. Janganlah umpama rumah siap, pahat berbunyi.

“Marilah kita sama-sama menjunjung titah dan menghormati perkenan pelantikan oleh Yang di-Pertuan Agong berdasarkan perlembagaan negara.

“Kita perlu bergerak ke depan dan bersama-sama membina negara ke arah kemakmuran dan kestabilan,” katanya hari ini.

Beliau mengulas cadangan Anwar untuk mengemukakan usul percaya sebagai agenda utama Sidang Parlimen bagi penggal ke-15 bermula 19 Disember ini.

Terdahulu, Ahmad Zahid meluahkan kesyukuran kemelut pelantikan Perdana Menteri telah diselesaikan secara arif lagi bijaksana oleh  Yang di-Pertuan Agong dengan telus dan berwibawa.

Menurut beliau, terdapat pelbagai proses dilakukan secara ketat bagi memenuhi kriteria tersebut termasuk memanggil menghadap ketua-ketua blok parti.

“BN mula-mula membuat keputusan untuk menjadi pembangkang, kemudian berkecuali dan akhirnya menyerahkan 30 kerusi untuk pertimbangan kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong untuk menentukannya. Begitu juga GPS dan GRS.

Advertisements

“Hal ini berlaku selepas Yang di-Pertuan Agong menitahkan semua 30 Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) supaya menyokong dan mengambil bahagian dalam kerajaan yang bukan diterajui oleh Perikatan Nasional (PN) bagi memastikan sebuah kerajaan yang stabil dan makmur dapat dibentuk.

Maka menurut beliau, BN menjunjung titah tersebut dan meletakkan kepentingan negara mengatasi kepentingan individu dan parti.

“BN tidak mahu berpolitik sepanjang masa dan ingin memfokuskan masalah ekonomi rakyat yang perlu ditangani bersama.

“Sebelum itu, Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO bersetuju untuk menyertai Kerajaan Perpaduan atau apa-apa bentuk kerajaan lain yang dimasyhurkan Yang di-Pertuan Agong.

Menurut beliau, apabila BN bersetuju menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong, maka proses-proses berkaitan dilaksanakan oleh pihak Istana Negara.

“Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu di Istana Negara berkaitan pembentukan Kerajaan Persekutuan dan pelantikan Perdana Menteri ke-10 turut diadakan bagi memastikan ketelusan berlangsung sebelum memuktamadkan keputusan,” katanya.

Khamis lalu, Yang di-Pertuan Agong menamakan Anwar sebagai perdana menteri baharu.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataan hari ini berkata pelantikan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Keputusan tersebut dibuat selepas Al Sultan Abdullah memperhalusi titah pandangan Raja-raja Melayu yang bersidang di Istana Negara bagi membuat keputusan yang terbaik demi kepentingan dan kesejahteraan negara serta rakyat.

-EDISI9

Advertisements

Terkini

Khairul Azhari calon PN bagi PRK Kuala Kubu Baharu – Muhyiddin

PEMANGKU Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Hulu Selangor, Khairul Azhari Saut diumumkan sebagai calon Perikatan Nasional (PN)...

Lagi Artikel Berkaitan