PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghargai dukungan yang diberikan oleh Gabungan Rakyat Sabah (GRS) terhadap Kerajaan Perpaduan pimpinan beliau.
Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata, dukungan penuh itu demi kepentingan kerajaan negeri dan kesejahteraan rakyat Sabah.
“Hajiji (Noor) dan GRS memberi dukungan penuh kepada Kerajaan Perpaduan pimpinan saya, dan saya tentunya mengalu-alukan dan menghargai dukungan tersebut demi kepentingan kerajaan negeri dan kesejahteraan buat rakyat Sabah,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menerima kunjungan pemimpin-pemimpin GRS diketuai Pengerusinya, Datuk Seri Hajiji Noor di pejabat beliau di Perdana Putra, Putrajaya hari ini.
Sementara itu Hajiji kepada media menegaskan, sekarang bukan masa yang sesuai untuk GRS membuat sebarang tuntutan kepada Perdana Menteri.
Beliau sebaliknya menyatakan, sokongan perlu diberikan kepada Anwar dalam menerajui Kerajaan Perpaduan yang baru dibentuk.
“Ini bukan masanya (tuntutan daripada Sabah), saya ingat kita sokong dulu.
“Saya berterima kasih kerana diberi peluang bertemu dengan Perdana Menteri. Tujuan utama kita adalah untuk menyatakan sokongan daripada Kerajaan Sabah dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
“Beliau mengalu-alukannya dan amat menghargai sokongan yang telah kita zahirkan,” katanya selepas mengadakan pertemuan dengan Anwar di Putrajaya.
Perjumpaan itu difahamkan berlangsung selama 45 minit, bermula kira-kira jam 3.15 petang.
Hajiji yang juga Pengerusi Bersatu Sabah memberitahu, parti gabungan itu hanya menghantar surat sokongan kepada Anwar dan tiada perbincangan melibatkan agihan jawatan Kabinet.
“Kita cuma hantar surat sokongan, tak ada bincang (jawatan Kabinet) kerana yang utama adalah memberikan sokongan kepada kepimpinan beliau,” katanya.
-EDISI9