31 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Zahid seru ketepi sentimen politik, bersama memilih BN

Gabungan politik selain BN masih bercelaru dan tiada hala tuju yang jelas untuk rakyat dan negara dalam memasuki gelanggang PRU.

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

PENGERUSI Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyeru mereka yang tidak menyokong parti itu agar mengenepikan sentimen politik sebaliknya bersama-sama mengundi BN pada 19 November ini.

Ujar beliau, rakyat tanpa mengira fahaman pollitik harus bersama BN dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) demi mengembalikan kestabilan dan kemakmuran di Malaysia.

“Tidak mengapa jika anda sebelum ini bukan ahli dan bukan penyokong kepada BN yang amat berjasa kepada tanah air, tetapi demi Malaysia sahutlah seruan kesepakatan ini.

“Ingatlah kestabilan serta kemakmuran amat-amat mustahak diperoleh pada PRU kali ini bagi menjamin masa depan negara dan anggota masyarakatnya,” katanya dalam Facebook hari ini.

Beliau turut mengingatkan semua pihak dunia diramalkan berdepan kemelesetan ekonomi global tidak lama lagi.

“… maka nasib Malaysia dan anggota masyarakatnya tidak lagi boleh dipertaruh pada ketidakstabilan.

“Usaha dan rancangan Malaysia untuk bangkit sepenuhnya daripada impak pandemik juga tidak akan dapat dijayakan tanpa kestabilan dan kemakmuran.

Malah menurut beliau, gabungan politik selain BN sehingga hari ini masih bercelaru dan tiada hala tuju yang jelas untuk rakyat dan negara dalam memasuki gelanggang PRU.

“Cara berkempen dan cerita politik mereka masih berkisar pada politik kebencian, dendam, fitnah, manipulasi serta personaliti dan akan disusuli dengan janji-janji palsu sama seperti PRU yang terdahulu.

“Cukup-cukup sudah, zaman dah berubah, bukan masanya lagi, seluruh rakyat Malaysia dah tahu dan faham cara lama yang masih dipakai berterusan oleh mereka.

“Ketahuilah gabungan politik selain BN sedang ‘takutkan bayang-bayang sendiri’ kerana kezaliman pernah mereka lakukan terhadap pemimpin BN, maka sedang terdesak apa sahaja.

Justeru menurut beliau, jujurkah gabungan-gabungan politik ini memasuki arena PRU15 untuk berkhidmat kepada rakyat atau semata-mata ketagih kuasa dan bimbangkan kemenangan BN?

“Sebab itu mereka masih tercari-cari ruang sesama mereka untuk ‘berkomplot’ semula walaupun pernah saling mentohmah dan memburuk-burukkan selepas berpecah-belah.

“Sedangkan fokus BN sejak dulu, kini dan selamanya dalam mendepani PRU adalah peluang mentadbir semula negara sebaik mungkin demi Malaysia dan rakyatnya.

“Fahamilah BN satu-satunya harapan untuk mengembalikan kestabilan dan kemakmuran yang akan memanfaatkan setiap anggota masyarakat tanpa mengira ideologi politik.

Bahkan menurut beliau, memberi kemenangan kepada BN akan menyampaikan mesej yang jelas kepada dunia bahawa rakyat Malaysia termasuk penyokong parti lain lebih mengutamakan negara berbanding politik.

-EDISI9

Terkini

Bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar meninggal dunia

BEKAS Ketua Polis Negara (KPN), Tun Mohammed Hanif Omar meningggal dunia di kediamannya di Shah Alam, Selangor pagi ini. Allahyarham...

Lagi Artikel Berkaitan