32.7 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

Bubar Parlimen elak tercetus ketidakharmonian kerajaan – PM

Tindakan 12 menteri itu jelas membelakangkan institusi Perdana Menteri yang mana pelantikannya telah diperkenan oleh Agong

Mesti Baca

PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini menjelaskan bahawa tindakan beliau membubarkan Parlimen semalam adalah bagi mengelak tercetusnya ketidakharmonian dalam kerajaan.

Menurut Ismail Sabri, tindakan 12 menteri Kabinetnya yang mengutuskan warkah kepada Yang di-Pertuan Agong adalah tidak wajar kerana jelas membelakangi institusi Perdana Menteri.

Beliau berkata, tindakan itu juga sekali gus mengikis semangat solidariti dalam pentadbiran kerajaan campuran pimpinannya.

“Justeru, pembubaran ini bagi menghalang daripada tercetusnya ketidakharmonian dalam pentadbiran kerajaan.

“Tindakan menteri-menteri ini jelas membelakangkan institusi Perdana Menteri yang mana pelantikannya telah diperkenan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sekaligus mengikis semangat solidariti dalam pentadbiran kerajaan,” kata Perdana Menteri dalam kenyataan hari ini.

Ismail Sabri mengulas kenyataan media Istana Negara semalam yang menyatakan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan kekecewaan terhadap perkembangan politik semasa tanah air.

Perdana Menteri berkata, sejak akhir-akhir ini juga, ada dalam kalangan Jemaah Menteri yang membuat kritikan secara terbuka terhadap keputusan dan dasar kerajaan.

Malahan, jelas beliau, tindakan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mengisytiharkan Barisan Nasional (BN) sebagai musuh utama parti itu telah mengundang bibit-bibit perpecahan, sedangkan partinya turut menganggotai kerajaan.

Advertisements

“Muhyiddin juga selaku Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), pernah membuat kenyataan yang menyarankan agar Parlimen dibubarkan kerana mendakwa kerajaan gagal dalam menguruskan negara dan ekonomi dengan baik,” katanya.

Perdana Menteri berkata, pembubaran Parlimen Ke-14 itu juga adalah untuk menoktahkan suara-suara yang selama ini meratib keabsahan, kerajaan pintu belakang dan kerajaan tebuk atap dengan memulangkan semula mandat kepada rakyat.

Beliau berkata, kerajaan hanya mampu berfungsi dengan baik melalui kebersamaan dan kesepakatan dalam memberikan perkhidmatan serta manfaat terbaik kepada Keluarga Malaysia.

“Negara memerlukan sebuah Kerajaan yang stabil untuk mendepani cabaran mendatang,” kata beliau.

Semalam, Ismail Sabri mengumumkan pembubaran Parlimen bagi memberi laluan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dan pada masa sama mengesyorkan negeri-negeri lain selain Sabah, Sarawak, Melaka dan Johor agar turut membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing.

Bagaimanapun, negeri-negeri di bawah Pakatan Harapan (PH) terdiri daripada Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan disahkan tidak akan membubarkan DUN mereka sehingga tamat tempoh tahun depan.

Manakala negeri-negeri di bawah Pas iaitu Kelantan, Terengganu dan Kedah difahamkan turut tidak membubarkan DUN serentak dengan pembubaran Parlimen.

Ini bermakna hanya negeri-negeri di bawah BN iaitu Pahang, Perak dan Perlis sahaja dijangka membubarkan DUN masing-masing sementara Sabah, Sarawak, Melaka dan Johor sudah melaksanakan pilihan raya negeri sebelum ini. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Apabila kita terlampau berlebih-lebihan meraikan Syawal

Oleh DR MOHD ISTAJID MOKHTAR BARANGKALI Malaysia merupakan antara negara Islam paling berlebih-lebihan dalam menyambut Aidilfitri. Tidak seperti negara-negara Islam Timur...

Lagi Artikel Berkaitan