SEORANG lelaki yang sedang khayal berjaya ditangkap polis dalam satu serbuan di Kampung Teluk Jawa, Padang Hang, Alor Setar, Kedah, Ahad lalu.
Turut ditemukan dalam serbuan tersebut adalah mayat seorang bayi lelaki berusia tiga bulan yang merupakan anak kandung lelaki itu sendiri.
Menurut Ketua Polis Kedah, Datuk Wan Hassan Wan Ahmad, ketika serbuan pada pukul 2.50 petang itu suspek berusia 28 tahun itu dalam keadaan berkhayal dan hasil ujian air kencing mendapati dia positif methamphetamine.
“Hasil soal siasat polis, suspek mengaku memukul bayi berkenaan kerana enggan minum susu dan menangis tanpa henti.
“Suspek kini direman tujuh hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya di sini hari ini.
Difahamkan, nasib malang yang menimpa bayi berkenaan terbongkar setelah polis menerima aduan berhubung penemuan mayat mangsa di rumah suspek itu.
Selain itu, suspek turut mendakwa dia memang menyedari bayinya itu sudah meninggal dunia dua hari sebelum itu.
Dalam pada itu, Wan Hassan berkata, mayat bayi berkenaan dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk dibedah siasat.
“Hasil bedah siasat mendapati mangsa meninggal dunia akibat kecederaan pada bahagian kepala dipercayai akibat hentakan benda tumpul.
“Polis masih menjalankan siasatan lanjut berkaitan kes ini,” katanya.
-EDISI9