PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melawat mangsa banjir di Kedah dan mengumumkan peruntukan sebanyak RM13 juta bagi bantuan pascabanjir di negeri itu.
Menurut Perdana Menteri, daripada jumlah tersebut sebanyak RM3 juta diperuntukkan bagi mangsa-mangsa banjir di daerah Kota Setar manakala RM10 juta lagi bagi keseluruhan negeri.
“Peruntukan ini bagi memastikan semua kerosakan dan ganti rugi yang munasabah selepas banjir, dapat ditangani sesegera mungkin dengan kerjasama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) dan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah.
“Kerajaan MADANI juga meneruskan bantuan banjir menerusi peruntukan NADMA dan ICU masing-masing RM1,000 kepada setiap ketua isi rumah (KIR) yang terkesan,” katanya hari ini.
Sebelum itu Anwar meninjau tahap bencana banjir yang melanda beberapa kawasan di Kedah serta menyantuni mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Stadium Sultan Abdul Halim, Suka Menanti, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Agama Kedah dan di Sekolah Kebangsaan (SK) Titi Gajah.
Sementara itu, Anwar mengulangi arahan agar projek tebatan banjir yang sedang dijalankan di Kedah dipantau dengan teliti, supaya tidak berlaku sebarang kelewatan untuk mengurangkan impak banjir apabila projek tersebut siap nanti.
Dalam pada itu, jumlah mangsa banjir yang kini ditempatkan di 43 PPS telah mencecah 7,839 mangsa daripada 2,477 keluarga melibatkan enam daerah iaitu Kota Setar, Kubang Pasu, Pendang, Kuala Muda, Bandar Baharu dan Pokok Sena.
Jumlah itu meningkat berbanding 7,469 mangsa daripada 2,420 keluarga yang direkodkan setakat jam 8 pagi hari ini.
Berdasarkan Info Bencana Banjir Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), daerah Kota Setar mencatatkan peningkatan kepada 3,470 mangsa daripada 1,131 keluarga berbanding 3,292 mangsa daripada 1,072 keluarga pagi yang ditempatkan di 14 PPS di kawasan itu.
Selain itu, daerah Kubang Pasu turut mencatatkan pertambahan apabila seramai 1,869 mangsa daripada 597 keluarga berbanding 1,811 mangsa daripada 664 keluarga ditempatkan di 11 PPS.
Bagi daerah Pendang,jumlah mangsa direkodkan turut meningkat kepada 1,291 mangsa daripada 385 keluarga berbanding 1,127 mangsa daripada 329 keluarga yang ditempatkan di sembilan PPS.
Daerah Bandar Baharu pula meningkat kepada 138 mangsa daripada 32 keluarga berbanding 128 mangsa daripada 29 keluarga sebelum ini.
Untuk daerah Pokok Sena pula merekodkan penurunan mangsa kepada 889 mangsa daripada 272 keluarga berbanding 952 mangsa daripada 290 keluarga di lima PPS di daerah itu pada pagi ini. – Edisi 9