KUMPULAN AmanahRaya melalui Yayasan AmanahRaya hari ini, melancarkan Misi Bantuan Pascabanjir AmanahRaya Care di bawah program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) mereka.
AmanahRaya Care digerakkan secara serentak ke beberapa daerah yang terjejas teruk di negeri Kedah dan Kelantan pada 14 Disember dan 15 Disember 2024.
Antara keperluan yang disalurkan adalah keperluan asas seperti tilam, bantal, selimut, pek barangan makanan dan keperluan lain bernilai lebih kurang RM140,000.00 kepada hampir 1,000 mangsa di dua buah negeri berkenaan.
Pengarah Urusan Kumpulan Amanah Raya Berhad, Ahmad Feizal Sulaiman Khan berkata, berkata Kumpulan AmanahRaya berharap agar sumbangan pasca banjir ini dapat meringankan beban mangsa di negeri tersebut.
“Usaha proaktif ini dilakukan sebagai tanda dedikasi warga kerja terhadap rakyat Malaysia yang ditimpa musibah selain bagi menerapkan sifat empati dan semangat kemanusiaan yang tinggi dalam kalangan pekerja,” katanya.
Tambah beliau, Kumpulan AmanahRaya sentiasa peka dengan perkembangan terkini bencana banjir.
Justeru, inisiatif ini dilaksanakan bagi meringankan beban mereka dan sebagai persediaan untuk menghadapi gelombang kedua yang dijangka melanda negara.
Sebanyak tiga anak syarikat Kumpulan AmanahRaya iaitu AmanahRaya Trustees Berhad, AmanahRaya Kenedix-REIT Manager Sdn. Bhd. Dan AmanahRaya Investment Management Sdn. Bhd turut berganding bahu bagi menjayakan misi ini.