Sunday, July 19, 2026

RM1.68 juta diperuntuk untuk tukun tiruan di Kelantan tahun ini

Antara jenis tukun yang digunakan termasuk Tukun Dasar Lembut (TDL), Tukun Dasar Lembut Penghalang Pukat Tunda (TDL-PT), Tukun Rekreasi (TR) dan Tukun Keluli.

Mesti Baca

SEBANYAK RM1.68 juta diperuntukkan untuk program penyediaan tukun tiruan di negeri Kelantan bagi tahun ini, kata Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Jabatan Perikanan Malaysia, Datuk Azahari Othman.

Beliau berkata, peruntukan itu merangkumi pelabuhan tukun di Tok Bali membabitkan peruntukan RM200,000; Sungai Gali (RM200,000) serta melalui inisiatif khas Ecological Fiscal Transfer (EFT) berjumlah RM1.28 juta yang disalurkan oleh Kerajaan Negeri Kelantan.

“Sejak tahun 2007, sebanyak 312 unit tukun tiruan pelbagai jenis telah dilabuhkan di perairan Kelantan meliputi daerah Tumpat, Kota Bharu, Bachok dan Pasir Puteh, dengan jumlah peruntukan keseluruhan mencecah RM6.26 juta.

“Antara jenis tukun yang digunakan termasuk Tukun Dasar Lembut (TDL), Tukun Dasar Lembut Penghalang Pukat Tunda (TDL-PT), Tukun Rekreasi (TR) dan Tukun Keluli,” katanya.

Beliau berkata demikian sempena Program Melabuh Tukun Tiruan (Konservasi) Negeri Kelantan 2025 di perairan Pasir Puteh dan Bachok hari ini.

Menurut Azahari, sebanyak 12 unit Tukun Dasar Lembut Penghalang Pukat Tunda (TDL-PT) telah dilabuhkan bagi tahun ini.

Beliau berkata, setiap tukun mempunyai berat 15 tan metrik dengan ukuran 2.6 meter tinggi dan 2.5 meter lebar serta panjang.

Ia dibina menggunakan konkrit bertetulang mengikut spesifikasi teknikal yang mematuhi garis panduan Guidelines for the Placement of Artificial Reefsoleh United Nations Environment Programme (UNEP).

“Pelaksanaan tukun tiruan merupakan strategi utama pemuliharaan marin yang memberi impak langsung kepada kesejahteraan komuniti nelayan dan ekosistem laut.

“Program tukun tiruan bukan sahaja meningkatkan hasil perikanan tempatan, malah melindungi habitat marin daripada ancaman aktiviti penangkapan haram dan perubahan iklim.

“Ia adalah pelaburan strategik jangka panjang demi menjamin sekuriti makanan negara dan kelestarian sumber laut,” katanya.

Tambah beliau, inisiatif ini juga selaras dengan komitmen negara terhadap Matlamat Pembangunan Mampan (SDG 14: Life Below Water), khususnya dalam usaha memulihara dan menggunakan secara lestari sumber lautan dan ekosistem marin.

Program tukun ini turut menyokong pembangunan agro-pelancongan, aktiviti penyelidikan saintifik serta menjadi pemangkin kepada ekonomi komuniti pesisir pantai.

Jabatan Perikanan Malaysia komited untuk meneruskan program konservasi ini secara sistematik dan berfasa bagi memastikan sumber perikanan negara kekal mampan serta menyumbang kepada kesejahteraan rakyat dan pemeliharaan biodiversiti marin negara. – Edisi 9

Terkini

Exco Johor: Enam kekal portfolio, empat lantikan baharu

SERAMAI 10 Ahli Majlis Mesyuarat (Exco) Kerajaan Negeri Johor bagi penggal 2026-2031 hari ini mengangkat sumpah jawatan masing-masing hari...

Lagi Artikel Berkaitan