PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan dengan guru-guru dan ulama pondok serta madrasah Kelantan hari ini.
Pertemuan di Seri Perdana itu hasil jemputan Anwar sendiri ketika mereka menghadiri majlis iftar di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya semalam.
Anwar berkata, pertemuan itu membuka ruang yang bermakna untuk bertukar pandangan mengenai pelbagai isu, khususnya berkaitan perkembangan Islam dan pembangunan ummah.
“Saya tekankan betapa pentingnya kita memperkukuh dasar Islam dalam pendidikan, serta beberapa ikhtiar Kerajaan dalam membina kekuatan dalaman umat Islam.
“Saya amat menghargai pandangan dan nasihat yang disampaikan oleh para tuan guru, terutama dalam soal pendidikan turath serta cadangan untuk memperkasa peranan institusi pondok di Malaysia,” kata beliau menerusi media sosialnya hari ini.

Anwar berkata, dalam perbincangan itu, mereka menzahirkan kepentingan memperteguh semangat persaudaraan, memupuk kefahaman dan kasih sayang, serta menghindari kebencian.
“Saya turut mendengar dengan sepenuh perhatian saranan agar usaha penjelasan mengenai inisiatif Kerajaan MADANI dalam memperkukuh Islam dapat dilakukan dengan lebih bersungguh-sungguh.
“Kami sependapat bahawa dalam banyak perkara, titik persamaan itu lebih besar daripada perbezaan,” kata Perdana Menteri.
Dalam ruang yang sama, Anwar turut menekankan tentang perkembangan komunikasi serta kerjasama yang semakin erat dengan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddib Daud.
“Saya berharap pertemuan sebegini dapat diteruskan pada masa hadapan kerana ia menjadi wahana yang sangat bernilai dalam merangka usaha bersama demi kemaslahatan umat dan negara.
“Buah fikiran dan nasihat para tuan guru amat saya hargai, dan saya percaya ia terpancar dari keikhlasan demi kesejahteraan rakyat dan negara seluruhnya,” kata beliau. – Edisi 9

