Sunday, July 19, 2026

Penguasaan bahasa Jepun, Cina bawa Nurin Dayana ke Osaka

Terpilih menyertai Japanese-Language Programme for Counterpart Japanese Learners of The Nihongo Partners (University Students) Spring Program 2025 di Osaka, Jepun Mei ini.

Mesti Baca

Editor Edisi 9
Editor Edisi 9
Editor Edisi 9

KEBOLEHANNYA menguasai bahasa Jepun dan Cina telah menjadi tiket bagi Nurin Dayana Alias untuk terpilih menyertai Japanese-Language Programme for Counterpart Japanese Learners of The Nihongo Partners (University Students) Spring Program 2025 di Osaka, Jepun Mei ini.

Nurin Dayana, 23, pelajar semester enam Program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP) Bahasa Melayu berkata, pemilihan itu merupakan satu pengiktirafan terhadap usahanya menguasai bahasa Jepun dan membuktikan keupayaan pelajar UPSI bersaing di peringkat antarabangsa.

Anak kelahiran negeri Kelantan itu berkata, minatnya terhadap bahasa Jepun bermula sejak tingkatan tiga apabila kerap menonton animasi Jepun (anime), sebelum secara beransur-ansur cuba memahami pertuturan dalam animasi berkenaan.

“Saya mula mempelajari perkataan asas dalam bahasa Jepun dan berkongsi pengetahuan dengan rakan-rakan yang turut mempunyai minat sama.

“Minat saya semakin berkembang apabila melihat sepupu saya mengambil bahasa Jepun sebagai subjek elektif di universiti, yang kemudian mendorong saya untuk mempelajarinya di peringkat lebih tinggi,”katanya hari ini.

Nihongo Partners Spring Program akan diadakan di The Japan Foundation Japanese-Language Institute, Osaka pada 13 Mei hingga 25 Jun depan.

Nurin Dayana berkata, beliau secara rasmi mula mendalami bahasa Jepun di UPSI pada semester kedua dengan mengikuti kursus asas dan seterusnya meningkatkan kemahirannya sehingga mencapai Tahap Tiga.

Menurutnya, proses pemilihan bagi menyertai program ini adalah dibuat berdasarkan kriteria ketat termasuk penguasaan bahasa Jepun di Tahap 1 hingga 3, status sebagai pelajar sepenuh masa, serta tidak pernah menyertai program anjuran The Japan Foundation Japanese-Language Institute, Kansai sebelum ini.

Menurutnya lagi, faktor yang membantu pemilihannya termasuk kecekapan dalam bahasa Cina, yang mempunyai persamaan dengan sistem tulisan Kanji Jepun, serta pencapaian sebagai pemenang tempat kedua dalam Pertandingan Festival Orator Peringkat Kebangsaan 2024 dalam bahasa Jepun yang dianjurkan oleh UPSI.

“Saya amat bersyukur dan gembira atas peluang ini, namun dalam masa sama, saya sedar cabaran besar yang menanti, terutama dalam memastikan saya dapat bertutur dengan lancar,” katanya.

Menurut Nurin Dayana, antara cabaran yang dijangka dihadapi termasuk penggunaan bahasa Jepun secara meluas serta perbezaan budaya yang perlu diadaptasi.

Sepanjang program ini, beliau akan mengikuti pelbagai aktiviti termasuk sesi pembelajaran bahasa Jepun secara intensif serta program pertukaran pelajar bersama komuniti dan universiti di Jepun.

“Program ini bukan sahaja memberi peluang untuk memperkukuhkan kemahiran bahasa Jepun, tetapi juga memahami budaya masyarakat Jepun dengan lebih dekat.

Mengenai impak program terhadap masa depannya, Nurin Dayana berharap dapat terus memperdalam ilmu bahasa Jepun dan seterusnya menjadikan pengalaman ini sebagai batu loncatan untuk menceburi bidang yang berkaitan.

“Saya juga bercita-cita untuk mengajar bahasa Melayu kepada pelajar luar negara yang berminat mempelajarinya, sama seperti bagaimana saya sendiri belajar bahasa Jepun.

“Segala pencapaian bermula dari langkah kecil. Kejayaan tidak akan mengkhianati usaha, jadi teruskan berusaha dan beranikan diri untuk mencuba perkara baharu,” katanya.

Sementara itu, Dekan Fakulti Bahasa dan Komunikasi UPSI, Profesor Madya Dr. Mazura @ Mastura Muhammad, menyifatkan kejayaan Nurin Dayana sebagai bukti kecemerlangan pelajar UPSI dalam penguasaan bahasa asing serta usaha fakulti dalam melahirkan graduan berkemahiran tinggi.

“Kami amat berbangga dengan pencapaian Nurin Dayana yang bukan sahaja menunjukkan kecemerlangan dalam akademik, malah memiliki semangat untuk mendalami bahasa asing.

“Pemilihan beliau dalam program ini adalah satu pencapaian yang mengharumkan nama UPSI di peringkat antarabangsa,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa pihak fakulti sentiasa menyokong pelajar yang ingin meneroka ilmu bahasa antarabangsa dan akan terus memperkasa program pengajian bagi memberi lebih banyak peluang kepada pelajar.

“Peluang seperti ini membuktikan bahawa penguasaan bahasa asing adalah satu kelebihan yang dapat membuka lebih banyak pintu kepada pelajar dalam bidang akademik dan kerjaya mereka pada masa hadapan,” ujar beliau. – Bazli Razak (UPSI)/Edisi 9

Terkini

Layan ‘final’ Piala Dunia dan Semarak Subuh bersama TPM

PASUKAN mana pilihan anda dalam perlawanan akhir Piala Dunia 2026, awal pagi ini? Sepanyol atau Argentina? Para peminat bola sepak,...

Lagi Artikel Berkaitan