32.1 C
Kuala Lumpur
Thursday, March 28, 2024

SPR bermesyuarat 20 Oktober tentukan tarikh PRU-15

Pada mesyuarat itu SPR juga akan membincangkan tarikh Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya, Sabah

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) akan bermesyuarat pada 20 Oktober ini bagi menentukan tarikh Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Setiausaha SPR, Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, mesyuarat tersebut akan dipengerusikan oleh Tan Sri Abdul Ghani Salleh di Menara SPR, Putrajaya pada pukul 10 pagi.

Beliau berkata, pada mesyuarat itu juga akan membincangkan tarikh Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya, Sabah.

“Pengerusi SPR akan membincangkan tarikh-tarikh penting PRU-15 dan PRK DUN Bugaya, seperti tarikh Writ Pilihan Raya, Hari Penamaan Calon, Hari Pengundian, serta Daftar Pemilih yang akan digunakan, dan lain-lain persiapan bagi melaksanakan kedua-dua pilihan raya itu.

“Sidang media akan diadakan sejurus selepas mesyuarat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini tersebar menerusi media sosial konon tarikh pengundian PRU-15 akan diadakan pada 5 November manakala tarikh penamaan calon pula pada 22 Oktober.

Kenyataan SPR itu sekali gus menafikan dakwaan tersebut kerana tidak mungkin penamaan calon dilakukan dua hari selepas SPR bermesyuarat bagi menentukan tarikh pilihan raya.

PRU-15 diadakan susulan pembubaran Parlimen oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Mengikut Perkara 55 (4) Perlembagaan Persekutuan, pilihan raya umum perlu diadakan dalam tempoh 60 hari selepas Parlimen dibubarkan.

Sementara itu, kerusi DUN Bugaya kosong susulan kematian penyandangnya Allahyarham Manis Muka Mohd Darah pada 17 November 2020, kurang tiga bulan selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Manis Muka yang bertanding atas tiket Warisan berjaya mempertahankan kerusi DUN Bugaya dengan majoriti 6,005 undi selepas memperoleh 8,557 undi.

Manis Muka yang bergiat aktif dalam bidang politik sejak 1985, menewaskan enam pencabar lain termasuk calon Perikatan Nasional (PN), Mohd Daud Tampokong yang hanya memperoleh 2,552 undi.

-EDISI9

Terkini

Merakyatkan ilmu sains demi masa depan

Oleh PROF MADYA TS DR ZUL ILHAM ZULKIFLEE LUBES DALAM era di mana kemeruapan drastik, ketidaktentuan, kerumitan dan kesamaran ialah...

Lagi Artikel Berkaitan