25.9 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

Berakhirnya era kerajaan ‘tebuk atap’

Mesti Baca

Lukman Ismail
Lukman Ismail
Editor Edisi 9

AKHIRNYA Parlimen dibubarkan maka kerajaan ‘tebuk atap’ yang dijaja sejak 2020 berakhir. Kini mandat dikembalikan kepada rakyat untuk memilih kerajaan baharu yang mutlak.

Isu kerajaan ‘tebuk atap’ bermula apabila Tun Dr Mahathir Mohamad meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri Ketujuh, sekali gus menyaksikan tumbangnya kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Tanpa melalui proses pilihan raya, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengetuai kerajaan baharu dinamakan Perikatan Nasional (PN), iaitu kerajaan campur yang diketuai oleh Bersatu bersama Pas, UMNO serta sokongan parti-parti Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Sabah.

Lantaran kemelut dalaman parti, PH kehilangan kuasa setelah 22 bulan mentadbir negara. Perjuangan selama berpuluh tahun untuk merampas Putrajaya daripada Barisan Nasional (BN) berakhir begitu sahaja.

Para pemimpin dan penyokong PH mula meroyan dan menggelarkan kerajaan pimpinan Muhyiddin sebagai kerajaan ‘tebuk atap’. Hari-hari dijaja tentang kerajaan yang dibentuk daripada perjanjian antara parti, bukannya daripada PRU.

IMBAS KEMBALI – Dr.Mahathir Mohamad bersama-sama pemimpin Pakatan Harapan selepas memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 pada 2018. Turut kelihatan Muhyiddin, Lim Kit Siang, Mohamed Azmin Ali dan Mohamad Sabu.

Mereka kemudian mendesak diadakan PRU bagi memilih kerajaan baharu, dengan membawa misi untuk menaikkan Datuk Seri Anwar Ibrahim — yang diberi pengampunan penuh oleh Yang di-Pertuan Agong sejuruS PH memenangi PRU-14 — sebagai Perdana Menteri.

Bagaimanapun, usaha untuk melaksanakan PRU-15 tergendala ekoran pandemik Covid-19 yang melanda dunia, termasuk di Malaysia yang mengorbankan puluhan ribu nyawa.

Muhyiddin menghadapi tekanan kerana dikatakan gagal menguruskan pandemik sehingga ekonomi negara lumpuh lantaran melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan ‘separuh masak’.

Tekanan itu bukan sahaja datang daripada pembangkang, tetapi juga rakan kerjasama dalam PN iaitu UMNO diketuai Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Mereka mendesak Muhyiddin membubarkan Parlimen bagi membolehkan kerajaan lebih mutlak dibentuk, namun Presiden Bersatu enggan mengalah.

Beliau berjanji akan membubarkan Parlimen sekiranya keadaan pandemik reda dan paling lambat pada Julai 2022.

Namun, belumpun sempat beliau membubarkan Parlimen, pada Ogos 2021, ahli-ahli Parlimen UMNO telah menarik sokongan terhadap Muhyiddin selepas 17 bulan mentadbir Putrajaya.

Ekoran itu sekali lagi kerajaan bertukar tangan daripada Muhyiddin kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. Kali ini, kerajaan ‘tebuk atap’ diketuai pula oleh UMNO.

Advertisements

Bulan berganti bulan, giliran Ismail Sabri pula menerima tekanan agar mempercepatkan pembubaran Parlimen. Ini kerana, Ismail Sabri dikatakan sebagai ‘Perdana Menteri sementara’ sehingga Parlimen dibubarkan.

Anehnya, desakan itu bukan datang daripada pihak pembangkang, tetapi daripada partinya sendiri UMNO.

UMNO melihat pentadbiran Ismail Sabri dibayangi oleh Muhyiddin memandangkan naiknya Ahli Parlimen Bera itu sebagai Perdana Menteri hasil sokongan ahli-ahli Parlimen PN.

Sejak itu kelihatan wujud dua kumpulan dalam UMNO iaitu tim Menara Dato Onn dan tim Putrajaya. Kumpulan yang mempunyai jawatan dalam kerajaan Ismail Sabri dan mereka yang tidak berjawatan.

Desakan Menara Dato Onn agar Parlimen dibubarkan semakin kencang selepas Barisan Nasional (BN) menang besar dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor.

Ismail Sabri Yaakob menerima surat cara pelantikan sebagai Perdana Menteri daripada Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara. – Foto Bernama

UMNO melihat inilah masanya PRU-15 diadakan, ketika parti-parti bukan BN kalah teruk, termasuk dalam PRN Sarawak namun Ismail Sabri kelihatan cuba menangguhkan PRU sehingga habis tempoh penggal, tahun depan.

Bagaimanapun, tekanan daripada dalam UMNO sendiri dihadapi Ismail Sabri tidak pernah reda malah semakin kuat sejak Datuk Seri Najib Razak dipenjarakan.

Menara Dato Onn menganggap Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri yang lemah kerana gagal ‘menyelamatkan’ Najib, yang juga bekas bosnya sendiri dalam parti dan kerajaan.

Dan ketika UMNO mendesak Ismail Sabri membubarkan Parlimen tahun ini, sebelum Monsun Timur Laut melanda, parti-parti bukan BN baik PH mahupun PN menjaja cerita yang berbeza.

Mereka membuat gerakan menolak PRU-15 dengan menggunakan alasan banjir besar akan melanda negara. Suatu tindakan yang pelik dan luar biasa kerana sebelum ini mereka beriya benar untuk merampas semula kerajaan.

Semalam, 10 Oktober 2022 akhirnya Ismail Sabri membubarkan Parlimen selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Maka dengan pembubaran Parlimen, berakhirlah kerajaan ‘tebuk atap’ yang selama ini diberikan sejak tumbangnya kerajaan PH pada Mac 2020 dan berakhir Oktober 2022.

Kini mandat dipulangkan semula kepada rakyat untuk memilih dan menentukan kerajaan baharu yang akan mentadbir negara.

Sudah tentu rakyat dapat berfikir dengan waras parti mana yang boleh diharapkan untuk mengembalikan kegemilangan negara, setelah terumbang-ambing sejak pasca-PRU-14. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Zahid, Muhyiddin sepakat batal saman, henti pertikaian peribadi

TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini membuat...

Lagi Artikel Berkaitan