29.8 C
Kuala Lumpur
Sunday, April 21, 2024

Bekas ahli politik terbabit sindiket pemerdagangan orang ditahan

Ahli politik berusia 50-an itu bertanding dalam PRU-14 di peringkat Parlimen dan DUN namun kalah serta hilang wang pertaruhan

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

BEKAS ahli politik antara 11 individu yang ditahan polis kerana disyaki terbabit dengan sindiket pemerdagangan orang dan berselindung di sebalik pusat pemulihan alkohol dan dadah di Seberang Perai Selatan, Pulau Pinang, Khamis lalu.

Pusat pemulihan itu diserbu anggota Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang menerusi Op Pintas yang dijalankan jam 12.10 tengah malam.

Menurut Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain, dalam serbuan itu seramai tujuh individu disyaki mangsa pemerdagangan orang berjaya diselamatkan dan seorang lelaki turut ditahan.

“Siasatan membawa kepada beberapa siri serbuan yang dijalankan bersama IPK Kedah dan berjaya menahan seorang wanita dan enam lelaki selain menyelamatkan tiga lagi mangsa.

“Susulan itu, satu lagi serbuan dijalankan di daerah Timur Laut pada pukul 8.25 malam tadi dan berjaya menahan dua lelaki dan seorang wanita serta menyelamatkan tiga lagi mangsa.

“Keseluruhan mangsa yang berjaya diselamatkan ialah seramai 13 individu berusia antara 22 hingga 62 tahun dan polis masih menyiasat dari mana mangsa berasal,” katanya kepada pemberita pada sidang media di IPK Pulau Pinang, hari ini.

Ujar Mohd Shuhaily lagi, siasatan mendapati sindiket berkenaan yang beroperasi hampir dua tahun lalu itu menyasarkan individu yang mempunyai masalah ketagihan dadah dan alkohol.

Menurutnya, kesemua mangsa yang diselamatkan dipaksa bekerja di kedai kereta, servis pendingin hawa, kedai kayu dan kedai makan tanpa dibayar gaji serta tiada cuti rehat.

“Pemeriksaan fizikal mendapati kebanyakan mangsa mempunyai kesan kecederaan akibat dipukul dan ada waris yang membayar antara RM1,200 hingga RM1,500 bagi membolehkan individu itu menjalani pemulihan di situ.

“Seorang yang ditahan adalah bekas ahli politik berusia 50-an yang bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) di peringkat Parlimen dan DUN (Dewan Undangan Negeri) namun kalah serta hilang wang pertaruhan, jadi kita tidak mahu ia dipolitikkan pada masa ini.

“Didapati pusat pemulihan dua tingkat itu tidak berdaftar dan bekas ahli politik itu terbabit adalah pengasasnya malah polis juga masih menyiasat mengenai pemilikannya,” katanya.

Antara barangan yang dirampas ialah rotan, rantai besi serta mangga, paip pvc, besi penyambung katil, komputer riba, telefon bimbit, dokumen dan jaring besi bersama kad penghuni.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 12 Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007,” katanya.

-EDISI9

Terkini

Bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar meninggal dunia

BEKAS Ketua Polis Negara (KPN), Tun Mohammed Hanif Omar meningggal dunia di kediamannya di Shah Alam, Selangor pagi ini. Allahyarham...

Lagi Artikel Berkaitan