TUJUH wanita warta Vietnam yang disyaki menjadi mangsa eksploitasi seks berjaya diselamatkan salam satu operasi Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di sebuah premis rumah kedai dua tingkat di Klang, Selangor kelmarin.
Menurut kenyataan JIM, tujuh wanita terbabit berusia antara 32 hingga 45 tahun itu dilaporkan telah dikurung di premis tersebut dan dipukul jika enggan melayani pelanggan.
Kesemua wanita itu, katanya, masuk sebagai pelancong tetapi dipaksa dan dieksploitasi sebagai pekerja seks di premis tersebut.
Jelas JIM, premis tersebut dikawal ketat oleh kapten warganegara Bangladesh dengan dipantau sepanjang masa melalui kamera litar tertutup (CCTV).
“Ketika pemeriksaan, anggota operasi terpaksa memecahkan pintu utama kerana penjaga premis atau kapten enggan bekerjasama dan cuba melarikan diri melalui tingkap di tingkat dua bangunan, tetapi berjaya ditahan.
“Berdasarkan temu bual, kesemua pasport wanita itu dipegang oleh individu dipercayai ejen yang menawarkan pekerjaan kepada mereka.
“Mereka hanya dibayar RM60 bagi setiap pelanggan dan pergerakan dikawal ketat, termasuk larangan keluar untuk membeli makanan dan barang keperluan,” kata kenyataan itu hari ini.
JIM berkata, operasi yang bermula pukul 11.23 malam itu melibatkan sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Pencegahan ATIPSOM & AMLA, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya.
Kata JIM, operasi itu turut menggunakan pendekatan mengenal pasti mangsa pemerdagangan orang (eksploitasi seks) dalam kalangan golongan rentan dengan berpandukan National Guideline on Human Trafficking Indicators (NGHTI) 2.0.
“JIM telah memulakan siasatan bagi melihat kesalahan di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 [Akta 670],” kata kenyataan itu.
JIM sentiasa memandang serius perkara seumpama ini dan meneruskan operasi penguatkuasaan serta mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana pihak yang melakukan kesalahan pemerdagangan orang dan penyeludupan migran di bawah
ATIPSOM 2007 [Akta 670].
Sabit kesalahan individu terlibat boleh dikenakan hukuman pemenjaraan seumur hidup atau dengan pemenjaraan selama tempoh tidak kurang daripada lima tahun, dan boleh juga dihukum dengan hukuman sebat bagi kesalahan pemerdagangan orang yang lebih berat. – Edisi 9