PENGASAS Institut Pemikiran dan Tamadun Islam (ISTAC), Tan Sri Prof Dr Syed Muhammad Naquib Al-Attas telah dianugerahkan sebagai Profesor Diraja, individu kedua yang diberi gelaran profesor tertinggi di negara ini.
Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan pengurniaan watikah penganugerahan tersebut di Istana Negara hari ini.
Pelantikan Syed Muhammad Naquib juga mendapat perkenan Seri Paduka Baginda dan Majlis Raja-raja.
Syed Muhammad Naquib Al-Attas dilahirkan pada tahun 1931 dan telah mendapat pendidikan awal di English College Johor Bahru yang kini dikenali sebagai Maktab Sultan Abu Bakar pada tahun 1946.
Beliau meneruskan pendidikan ke peringkat Ijazah Sarjana Muda di Universiti Malaya, Singapura pada tahun 1957 sebelum melanjutkan pengajian pascasiswazah pada tahun 1960 di University McGill, Kanada dan seterusnya di University of London, United Kingdom pada tahun 1963.
Kementerian Pendirikan Tinggi (KPT) berkata, pengurniaan pelantikan Profesor Diraja kepada Syed Muhammad Naquib adalah bagi mengiktiraf sumbangan beliau yang merupakan seorang tokoh pemikir peradaban Islam kontemporari yang amat disegani dan dihormati di dalam dan luar negara.
“Beliau turut memperkenalkan gagasan Islamisasi ilmu yang telah diterapkan dalam pelbagai cabang pengetahuan merangkumi pendidikan agama, sejarah, falsafah, teologi, metafizik, filologi, semantik, sastera dan seni.
Gagasan ini telah mendorong beliau untuk mengasaskan ISTAC pada tahun 1987 yang berperanan sebagai sebuah institusi Islam dalam melahirkan sarjana dan ilmuwan Islam terkemuka di seluruh dunia,” kata KPT dalam kenyataan.
Hadir sama semasa majlis pengurniaan watikah ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.
Pelantikan Syed Muhammad Naquib sebagai Profesor Diraja ini adalah merupakan pelantikan kali kedua selepas Allahyarham Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid pada tahun 1978.
KPT berkata, Syed Muhammad Naquib adalah antara tokoh penting bagi penubuhan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan telah menyumbang dalam merencana dasar, falsafah dan logo universiti dengan moto Zidni Ilman (tambahkan kepadaku ilmu) pada tahun 1970.
Kini, UKM adalah merupakan salah sebuah universiti penyelidikan terkemuka di Malaysia yang telah melahirkan modal insan terpelajar di peringkat nasional mahupun antarabangsa.
Selain itu, beliau juga merupakan individu yang bertanggungjawab membuat pembentangan mengenai konseptualisasi universiti Islam di Persidangan Pertama Pendidikan Muslim Sedunia di Universiti King Abdul Aziz, Mekah pada tahun 1977.
Hasil persidangan tersebut telah membawa kepada penubuhan beberapa universiti Islam di seluruh dunia termasuklah di Malaysia. – Edisi 9

