TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini akan menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN Mengenai Pengurusan Bencana (AMMDM) Ke-12.
Mesyuarat yang akan berlangsung pada 23 hingga 25 Oktober di Brunei Darussalam itu membawa tema Buliding a Resilient ASEAN Through Inclusive and Sustainable Disaster Recovery.
Pejabat TPM dalam satu kenyataan berkata, Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bencana Negara akan diiringi oleh Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Datuk Khairul Shahril Idrus.
Katanya, mesyuarat itu berfungsi sebagai forum untuk bertukar pandangan mengenai isu-isu strategik dan terkini serta membincangkan kemajuan semasa dan status perkembangan program dan aktiviti di bawah ASEAN Agreement on Disaster Management and Emergency Response (AADMER) 2021-2025.
“Mesyuarat ini juga melibatkan wakil dari negara-negara angota ASEAN, yang terlibat secara langsung dalam pengurusan risiko bencana di negara masing-masing.
“Sebagai menteri yang bertanggungjawab dalam hal ehwal pengurusan bencana, Timbalan Perdana Menteri turut akan menghadiri beberapa mesyuarat lain dengan rakan dialog seperti AMMDM bersama China kali keempat, AMMDM bersama Jepun kali keempat dan juga AMMDM bersama Korea kali ketiga,” kata kenyataan itu hari ini.
Pada 24 Oktober, Zahid dijadualkan akan menyampaikan Kenyataan Negara berkenaan inisiatif, pelaksanaan dan kejayaan serta cabaran dalam pengurusan dan risiko bencana menerusi pendekatan yang diambil oleh Malaysia.
Selain itu, pada sebelah malam beliau dijadual akan mengambil kesempatan untuk bertemu dengan rakyat Malaysia yang berada di Brunei dalam satu majlis makan malam.
Sementara itu, pada pagi 25 Oktober Zahid bersama wakil-wakli negara ASEAN akan menghadiri Majlis Sambutan Memperingati 20 Tahun Tsunami Lautan Hindi dan Hari Pengurusan Bencana ASEAN 2024 di Taman Mahkota Jubli Emas di Bandar Seri Begawan.
“Penyertaan dan kehadiran Timbalan Perdana Menteri dalam AMMDM ke-12 ini mencerminkan komitmen Malaysia untuk terus memperkukuh hubungan diplomatik dengan negara-negara ASEAN serta memperkuat daya tahan rantau ini terhadap bencana alam, sambil mempereratkan hubungan dengan rakyat Malaysia yang berada di luar negara,” kata kenyataan itu. – Edisi 9