JABATAN Imgresen Malaysia (JIM) berjaya menumpaskan satu sindiket pemerdagangan orang dalam satu Operasi Khas pada 3 November lalu di Klang Sentral, Selangor.
Operasi yang bermula pukul 3.54 petang i tu melibatkan sepasukan pegawai dan anggota pelbagai pangkat dari Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya.
Berdasarkan risikan yang dijalankan selama dua minggu, pasukan operasi telah diatur gerak ke sebuah premis rumah kedai dan berjaya menahan seorang lelaki warganegara Bangladesh.
Lelaki terbabit yang disyaki sebagai ‘penjaga premis’ berusia dalam lingkungan 30 tahun dan tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan atau pas yang sah untuk berada di negara ini.
“Hasil pemeriksaan lanjut di premis tersebut, pasukan operasi telah berjaya menyelamatkan enam orang lelaki warganegara Bangladesh berusia di antara 18 tahun hingga 41 tahun.
“Semasa pemeriksaan dijalankan, ‘penjaga premis’ tersebut cuba untuk melarikan diri melalui tingkap di sebuah bilik dan berlaku sedikit pergelutan namun berjaya digagalkan,” kata JIM dalam satu kenyataan.
Katanya, pasukan operasi turut merampas tujuh naskhah pasport Bangladesh dan tujuh unit telefon bimbit.
JIM berkata, modus operandi sindiket ini adalah membawa masuk warganegara Bangladesh yang ingin mencari pekerjaan di negara ini.
Sindiket ini akan membawa masuk mangsa sebagai pelancong dan segala urusan pasport, visa dan tiket penerbangan mangsa diuruskan oleh sindiket.
Seterusnya mangsa akan dibawa dan ditempatkan di ‘rumah transit dengan kadar bayaran yang dikenakan oleh sindiket adalah sebanyak RM15,000 untuk setiap orang dan tambahan RM5,000 seorang untuk membolehkan mangsa keluar dari ‘rumah transit’ tersebut.
‘Penjaga premis’ ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 12 Akta Antipemerdangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 (Akta 670) dan ditempatkan di Lokap Berpusat IPD Shah Alam, Selangor.
Manakala enam lelaki warganegara Bangladesh yang diselamatkan dibawa ke rumah perlindungan di Tanjung Kling, Melaka untuk tindakan selanjutnya.
“Jabatan akan meneruskan tindakan tegas ke atas mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM),” katanya. – Edisi 9