32 C
Kuala Lumpur
Tuesday, April 16, 2024

Tiba masa Kertih miliki pihak berkuasa tempatan sendiri!

Mesti Baca

Editor
Editor
Editor Edisi 9

BAHAGIAN KEDUA (AKHIR)

SAYA meninggalkan kampung halaman saya, Kertih lebih daripada 30 tahun, melanjutkan pelajaran dan kemudian bekerja di ibu negara.

Sepanjang tempoh tersebut saya ulang-alik pulang ke Kertih setiap kali ada kesempatan bercuti memandangkan ibu (al-Fatihah mak, Asiah Hussin) dan adik beradik serta sanak saudara saya masih ada di sini.

Benar, Kertih sudah banyak berubah berbanding tahun-tahun 1980-an dahulu, dari sebuah pekan kecil nelayan pantai sehingga menjadi sebuah bandar seperti sekarang. Terima kasih wakil-wakil rakyat terdahulu yang membawa Kertih ke tahap ini.

Dulu Kertih hanya ada dua sekolah rendah dan tiada sekolah menengah tetapi hari ini sudah ada lima sekolah kebangsaan dan dua buah sekolah menengah.

Dulu kita tiada stesen bas untuk dijadikan pengkalan bas-bas ekspres untuk membawa penumpang ke utara, selatan dan barat tetapi kini sudah ada.

Sebelum ini kita hanya bergantung kepada air terjun Menderu, Kuala Kertih atau menumpang populariti pantai Kemasik untuk menarik pelancong tetapi kini sudah ada Muzium 3D Kertih.

Kertih juga sudah memiliki panggung wayang dan pusat boling di Mesra Mall atau padang golf di KGRP, Terima kasih kepada Petronas yang menyediakan kemudahan itu untuk pekerjanya, yang turut dapat dikecapi penduduk tempatan.

Kertih juga bakal memiliki stesen kereta api laju Pantai Timur, ECRL walaupun satu ketika stesen Kertih tiba-tiba dihilangkan demi untuk menjimatkan kos pembangunannya.

Namun, seperti yang saya tulis sebelum ini, semua itu belum memadai jika mahu dibandingkan dengan sumbangan Kertih sebagai jantung ekonomi negara daripada industri minyak dan gasnya.

Kertih perlukan pembangunan yang jauh lebih dahsyat berbanding sekarang, yang bukan sahaja dari segi pembangunan fizikal tetapi juga ekonomi dan sosial.

Justeru, saya melihat Kertih sukar untuk membangun lebih pantas dan seperti yang diharapkan selagi ia tidak dijadikan daerah dan perbandaran sendiri, atau setidak-tidaknya mempunyai lembaga pembangunan sepertimana Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), misalnya.

Jika seandainya Kertih mempunyai pihak berkuasa sendiri, sudah tentu kita boleh merancang lebih banyak perkara, sekali gus dapat mengeluarkan Kertih daripada sebuah “bandar minyak” yang mati dan ketinggalan kepada sebuah perbandaran yang kalau tidak setanding Bintulu, sekurang-kurangnya seperti Pontian.

Berikut antara pembangunan yang saya kira perlu dilaksanakan sekiranya mahu mengeluarkan Kertih sebagai “bandar minyak” yang tertinggal…

1. Bandar Baharu Kertih 2.0

Kertih memerlukan sebuah bandar baharu yang terpusat dan tersusun yang akan menjadi pusat perniagaan dan kewangan di dalam satu persekitaran.

Pembangunan bandar yang terpusat dan terancang sudah tentu dapat menarik lebih ramai pelabur datang ke Kertih terutama syarikat-syarikat berkaitan minyak dan gas.

Ini sekali gus merancakkan ekonomi setempat kerana mereka yang datang perlu makan, tempat tinggal, sekolah untuk anak-anak dan beriadah di hujung minggu.

2. Institusi Pengajian Tinggi/Sekolah Berasrama

Sesebuah kawasan perbandaran biasanya akan lebih maju dan membangun sekiranya terdapat institusi pengajian tinggi (IPT) atau sekolah berasrama. Ini kerana institusi ini akan menjadi nukleus pembangunan perbandaran.

Jika tidak kampus penuh, mungkin kampus cawangan atau kampus kota memadai. Dengan adanya IPT dan sekolah berasrama secara automatik dapat menambah jumlah penduduk, sekali gus menambah jumlah kuasa membeli.

3. Pasar Payang @ Kertih

Walaupun sudah ada Mesra Mall namun tak ramai yang mampu untuk berbelanja di pusat membeli belah setara Suria KLCC itu. Mungkin pasar raya besar boleh diwujudkan di Kertih.

Atau boleh sahaja “membawa” Pasar Payang ke Kertih agar pelancong yang datang dari Kuala Lumpur atau Kuantan tidak perlu ke Kuala Terengganu untuk membeli batik atau tembaga.

Kalau ada Pasar Payang di Kertih, tak adalah Kuala Terengganu sesak dengan kenderaan luar Terengganu. Sebahagian mereka boleh berbelanja di Kertih sahaja.

Hanya perlu ke Kertih sahaja sekaligus menjimatkan kos mereka dan menbuka peluang penduduk tempatan untuk berniaga. Lagi pun akses masuk dari LPT2 untuk ke bandar Kertih paling dekat iaitu kira-kira 10 kilometer saja.

4. Bangunan Pejabat dan Perumahan

Bangunan pejabat mendapat permintaan cukup tinggi kerana banyaknya syarikat-syarikat perniagaan berkaitan minyak dan gas di Kertih.

Malangnya tidak banyak premis pejabat yang disediakan berbanding di Paka. Sebab itu di Paka nampak lebih “meriah” berbanding di Kertih.

Permintaan terhadap rumah-rumah sewa juga tinggi. Mungkin perlu dibangunkan rumah-rumah sederhana yang mampu milik.

Bukan sahaja untuk penduduk setempat yang ketiadaan rumah, tetapi juga orang luar yang datang bekerja di Kertih. Rumah berbentuk apartmen boleh difikirkan.

5. Medan Selera & ‘Coffee Shop Street’

Kebanyakan kedai atau warung makan dan kopi di Kertih bersepah-sepah dalam saiz yang kecil. Kalau diwujudkan satu medan selera dengan menempatkan para peniaga kecil ini di bawah satu bumbung dapat meningkatkan jumlah pelanggan dan pendapatan mereka.

Sekali gus memudahkan pelanggan untuk mencari makan menu-menu yang digemari di satu tempat. Tapi medan selera ini perlulah di tempat yang strategik dan mudah diakses.

paris, coffee shop, france
Kedai kopi jalanan ala Eropah boleh difikirkan di Kertih. – Gambar hiasan/Photo by smattern on Pixabay

Saya juga terfikir kalaulah di Kertih diwujudkan satu kawasan peniagaan warung kopi yang terpusat atau boleh dipanggil Coffee Shop Street tentu menarik bukan? Semua peniaga kopi yang ada di Kertih boleh dikumpulkan di satu kawasan. Saya nampak bangunan kedai di Bandar Sri Kertih boleh dijadikan Coffee Shop Street ala Eropah.

6. Hospital Pakar

Kemudahan ini saya kira paling kritikal sebabnya tidak ada kemudahan hospital pakar di daerah Kemaman menyebabkan kebanyakan penduduk Kertih terpaksa ke Kuantan atau Kuala Terengganu untuk mendapatkan rawatan, sebagai pilihan selain hospital daerah.

Bayangkan kalau di Kertih diwujudkan sebuah hospital pakar, sudah tentu ia memudahkan penduduk setempat dan sekitarnya untuk mendapat rawatan terbaik.

7. Hotel-hotel dan Bilik Penginapan

Kertih dan sekitarnya mempunyai produk-produk pelancongan yang boleh diketengahkan baik alam semula jadi mahupun produk-produk yang dicipta.

Bagi menampung kehadiran pelancong, Kertih memerlukan lebih banyak bilik penginapan. Industri pelancongan mampu membuka ruang masyarakat setempat menjana pendapatan.

Kesimpulan

Kota Melaka tidak dibina dalam satu malam, begitu juga Kota Rom. Ini memerlukan kuasa, wang, usaha, kesungguhan, keikhlasan dan lain-lain. Perancangan itu penting. Tanpa perancangan sudah tentu pelaksanaan tidak dapat dilakukan.

Perancangan pula perlulah akhirnya membawa manfaat kepada penduduk Kertih itu sendiri dan bukannya hanya dapat dilihat oleh mereka. Diharapkan dengan adanya Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) dapat mengubah landskap Kertih daripada sebuah “bandar minyak” yang tertinggal kepada sesuatu yang lebih baik.

Bagaimanapun, semua ini tidak bermakna sekiranya kita sebagai penduduk Kertih gagal merebut peluang dan ruang yang ada. Kita perlu membuka mata dan minda.

Sesungguhnya Allah tidak merubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka merubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri.” – Ar-Ra’d: 11

Terkini

MQA saran IPT lahirkan lebih ramai profesor praktis

KUALITI pendidikan tinggi negara akan terus meningkat dengan melahirkan lebih ramai 'professor of practice' atau profesor praktis. Ketua Pegawai Eksekutif...

Lagi Artikel Berkaitan