34.1 C
Kuala Lumpur
Tuesday, March 19, 2024

Kertih… ‘Bandar minyak’ yang tertinggal?

Mesti Baca

Editor
Editor
Editor Edisi 9

BAHAGIAN 1

MINGGU lalu seorang sahabat datang dari Bintulu, Sarawak kerana menghadiri majlis perkahwinan seorang rakannya di Kijal, Terengganu.

Peluang itu saya manfaatkan dengan membawa beliau sekeluarga melawat Muzium 3D Kertih yang saya usahakan dan tempat-tempat menarik lain di sekitar Kertih, tanah kelahiran saya.

Dia bertanyakan saya sejak bila Kertih dijadikan pusat penapisan minyak dan gas. Saya beritahu sejak tahun 1980.

Saya ingat sebab semasa itu saya berada di Darjah Enam dan sekolah saya dipasang dengan penyaman udara sebab di hadapan sekolah akan dibangunkan sebuah bandar baharu.

Walaupun dah berusia lebih 40 tahun, namun penduduk kampung masih memanggil bandar tersebut dengan Bandar Baru Kertih sedangkan nama rasminya adalah Bandar Sri Kertih.

Sahabat saya bertanya kenapa Kertih masih kelihatan tidak membangun, tidak memadai dengan sumbangannya sebagai pusat penapisan minyak dan gas negara. Tidak seperti Bintulu yang merupakan “bandar kembar” kepada Kertih kerana minyak dan gas.

Saya cuba menghitung pembangunan fizikal di Kertih – Bandar Sri Kertih, Rantau Petronas, penyusunan semula Pekan Kertih, Mesra Mall, jalan empat lorong, McDonalds, Lapangan Terbang Kertih, Stesen Bas Kertih… Banyak juga pembangunan di Kertih sejak 40 tahun lalu.

Saya cuba pula membandingkan pembangunan fizikal di Paka, bandar di sebelah Kertih yang juga menerima tempias daripada industri minyak dan gas di Kertih. Sepertinya jauh berbeza.

Kerana minyak dan gas, Kertih antara bandar yang menjadi tumpuan orang luar untuk datang bekerja dan menetap di sini sejak loji penapisan itu dibuka tahun 1980-an.

Sehingga kini Kertih antara bandar yang mengalami kepadatan penduduk paling ketara. Tidak hairan Kertih menjadi antara bandar paling mahal di Malaysia. Itulah kesan limpahan minyak dan gas.

Selebihnya saya mendengar ramai juga yang mengeluh kerana Kertih seolah-olah “tiada apa-apa”. Sama ada mahu berbelanja, beriadah atau mendapatkan rawatan kesihatan. Mereka terpaksa ke Kuantan yang berjarak lebih 100 kilometer kerana Kertih “tiada apa-apa.”

Malu dengan pendapat orang luar terhadap kampung sendiri, saya nekad membuka muzium 3D di Kertih walaupun ada kawan saya menganggap saya “gila”, buka muzium 3D di kampung, jauh dari pusat bandar dan pusat pelancongan serta bukanlah perniagaan yang menguntungkan. Tapi niat saya supaya Kertih ada sesuatu untuk dilawati di hujung minggu.

Muzium 3D saya pulak terletak di bangunan kedai milik Perbadanan Memajukan Iktisas Negeri Terengganu (PMINT), dengan susunan bangunannya agak “kompleks” dan agak ke belakang. Namun itu sajalah yang kami mampu pada masa itu…

Kembali kepada sahabat saya itu, dia bercerita bagaimana Bintulu kini begitu pesat membangun dengan bandarnya memiliki beberapa pusat membeli belah, bangunan-bangunan pejabat dan komersial tumbuh bagai cendawan. Begitu juga dengan projek-projek perumahan.

Kebetulan saya juga pernah ke Bintulu beberapa bulan lalu. Jadi saya sendiri boleh membayangkan keadaan “bandar minyak” di Sarawak itu.

Sebetulnya sejak 40 tahun lalu Kertih sememangnya sudah berubah wajah, daripada perkampungan nelayan kini menjadi “bandar minyak” namun pembangunannya masih tidak mencukupi, amat sedikit berbanding sumbangannya kepada ekonomi negara.

Bayangkan berbilion hasil negara dijana dari loji penapisannya di Kertih, namun amat sedikit yang dapat dikecapi oleh penduduk Kertih sendiri.

Kini kita sudah memasuki tahun 2022, Kertih tidak lagi hanya boleh berbangga dengan Bandar Baru Kertih yang sudah tidak baharu lagi, atau Mesra Mall yang setara Suria KLCC daripada segi barangan, harga dan kadar sewanya.

Kertih juga tidak boleh lagi mendabik dada memiliki lapangan terbang yang kini bagai hidup segan mati tak mau, atau stesen bas ekspres yang comel. Atau pantai Kuala Kertih yang tiap kali bah, tiap kali itu juga akan berubah.

Bandar minyak ini memerlukan lebih daripada itu bagi merancakkan bukan sahaja pembangunan fizikalnya tetapi yang penting pertumbuhan ekonomi khususnya kepada penduduknya.

Lalu apa yang penduduk Kertih perlukan? Ikuti bahagian kedua daripada dua siri tulisan ini.

(Bersambung)

Terkini

Stoking kalimah Allah: KK Mart akan dipanggil bantu siasatan

POLIS akan memanggil pihak KK Supermart & Superstore Sdn Bhd (KK Super Mart) dan beberapa individu lain bagi membantu...

Lagi Artikel Berkaitan