MUZIUM 3D Kertih, galeri seni dan ilusi 3D pertama di Terengganu mahu memperkukuhkan lagi jenamanya di Malaysia, khususnya di Pantai Timur.
Nama muzium itu semakin dikenali di daerah Kemaman tetapi masih asing bagi masyarakat di negeri ini selain Kelantan dan Pahang setelah setahun beroperasi.
Justeru, tanpa menoleh lagi ke belakang, muzium yang diusahakan bekas wartawan, Lukman Ismail itu kini mempergiatkan promosinya terutama menerusi media sosial selain menambah jumlah lukisan yang ada.
Menurutnya, pada masa kini galeri seluas lebih 5,000 kaki persegi melibatkan dua unit bangunan satu setengah tingkat di Bandar Sri Kertih itu telah hampir dipenuhi dengan lukisan, termasuk lukisan tiag dimensi (3D).
Beliau berkata, pihaknya juga memperluaskan kaedah penjualan tiket dengan melantik ejen-ejen jualan di sekitar bandar Kertih selain memperkukuhkan kaedah pembayaran secara digital.
“Untuk permulaan kita tumpu di Kertih dan akan diperluaskan ke beberapa bandar lain di daerah Kemaman serta lain-lain tempat di negeri ini,” katanya.
Muzium 3D Kertih mula beroperasi pada 2 Januari tahun lalu, namun berhadapan cabaran getir susulan pandemik COVID-19 yang semakin memuncak.
Malah muzium itu terpaksa ditutup selama empat bulan ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyebabkan sumber pendapatannya terjejas teruk.
Lukman yang juga Pengarah Urusan Serata Cakra Resources menganggap sepanjang setahun lalu merupakan proses pembelajaran baginya memandangkan inilah kali pertama beliau menceburi perniagaan setelah lebih 20 tahun menjadi wartawan.
Bagaimanapun beliau bersyukur kerana walaupun muzium tersebut tidak berada di lokasi tumpuan ramai, namun sambutan yang diterima semakin baik dari masa ke semasa.
“Pada masa ini kami mempromosinya secara agresif melalui media sosial kerana inilah kaedah paling cepat dan murah. Alhamdulillah, kebanyakan pengunjung mendapat maklumat daripadanya.
“Kami amat berbesar hati sekiranya para pengunjung kami dapat berkongsi gambar-gambar dan kenangan mereka di Muzium 3D Kertih dalam media sosial masing-masing,” katanya.
Diusahakan bersama adik beradiknya yang lain, Lukman berharap Muzium 3D Kertih dapat menjadi antara produk pelancongan pilihan pengunjung ke negeri Terengganu selepas ini.
Maklumat lanjut mengenai Muzium 3D Kertih boleh diperoleh dengan melawat laman web http://3dkertih.com.my atau ikutinya melalui Facebook, Instagram dan Tiktok atau hubungi 09-8251525 atau WhatsApp 011-10861165: – Edisi 9