31 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Polis cedera ditetak penagih di Shah Alam

Hasil ujian kencing mendapati suspek positif Methamphetamine, Amphetamine dan Tetrahydro Cannabinol Hydrocarboxy Lic Acid (THC) serta mempunyai rekod lampau bersabit Seksyen 353 Kanun Keseksaan.

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

SEORANG pegawai polis parah di tangan, manakala seorang lagi anggota cedera selepas ditetak seorang penagih dadah dalam kejadian di sebuah rumah di Kampung Sungai Kandis, Seksyen 36, Shah Alam, Selangor, semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3.45 petang itu, Inspektor Mohd. Zulhusni Hassani, 30, cedera di pergelangan tangan kanan manakala Lans Koperal Mohammad Ridzuan Marsudi, 31, pada pergelangan tangan kiri.

Kedua-duanya bertugas di bahagian D4 (Risikan / Operasi / Rekod Jenayah ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam dan telah dirawat di Hospital Shah Alam.

Mohammad Ridzuan bagaimanapun telah dirujuk ke Hospital Selayang bagi tujuan pembedahan tangannya dan kini dilaporkan stabil.

Menurut Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim, sebelum kejadian kedua-dua mangsa bersama lima lagi anggota polis membuat susulan berhubung kes disiasat dibawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

“Ini selepas seorang lelaki tempatan berusia 47 tahun yang menaiki kenderaan pacuan empat roda jenis Nissan Navara didapati mengamuk dengan melanggar kenderaan jenis Honda Accord milik abangnya sendiri yang merupakan pesara guru berusia 53 tahun,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ujar Mohd. Iqbal lagi, suspek yang merupakan penganggur itu turut bertindak menghempas pasu bunga pada kereta abangnya selain mengejar saudara kandungnya itu dengan sebilah parang.

“Pasukan polis yang tiba di rumah suspek mendapati lelaki itu enggan memberikan kerjasama dengan mengunci rumah tersebut sebelum berjaya memasuki rumah tersebut kemudian.

“Bagaimanapun, suspek telah bertindak melibas parang ke arah Mohammad Ridzuan dan menyebabkan mangsa terpaksa melepaskan tembakan bagi mempertahan diri.

“Namun, tembakan itu terlepas ke udara akibat pergelutan dengan suspek didapati terus menyerang dan menyebabkan mangsa cedera di pergelangan tangan kiri sehingga tiga jari Lans Koperal polis itu tidak dapat digerakkan,” katanya.

Menurutnya, Inspektor Mohd. Zulhusni turut mengalami kecederaan di pergelangan tangan kanan ketika bersama anggota polis lain bagi menangkap suspek tersebut.

Siasatan mendapati suspek tinggal berseorangan di rumah tersebut dengan rumah abangnya terletak bersebelahannya.

“Hasil ujian kencing mendapati suspek positif Methamphetamine, Amphetamine dan Tetrahydro Cannabinol Hydrocarboxy Lic Acid (THC) serta mempunyai rekod lampau bersabit Seksyen 353 Kanun Keseksaan.

“Suspek kini direman tiga hari sehingga Khamis ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 307/326 Kanun Keseksaan,” jelasnya.

-EDISI9

Terkini

Bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar meninggal dunia

BEKAS Ketua Polis Negara (KPN), Tun Mohammed Hanif Omar meningggal dunia di kediamannya di Shah Alam, Selangor pagi ini. Allahyarham...

Lagi Artikel Berkaitan