SATU persefahaman strategik antara Petronas dan Petros dimeterai hari ini dalam satu langkah bersejarah yang dijangka membawa impak besar terhadap pembangunan industri minyak dan gas negara, di samping memperkukuh kedudukan Sarawak sebagai pemain utama dalam sektor tersebut.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, persefahaman itu mencerminkan semangat kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sarawak yang saling menghormati kuasa perundangan masing-masing dalam membangunkan sumber asli negara.
“Petronas akan terus memainkan peranannya sebagai syarikat minyak dan gas negara, manakala Petros pula diiktiraf selaras dengan kuasa yang diperuntukkan kepada Sarawak,” katanya dalam satu kenyataan selepas majlis pemeteraian persefahaman dengan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Openg hari ini.
Menurut Anwar, kerjasama itu akan dilaksanakan berdasarkan kerangka undang-undang Persekutuan dan Negeri serta selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menitikberatkan keterangkuman wilayah dan keadilan ekonomi.
Beliau menegaskan, kerjasama ini tidak hanya terhad kepada sektor huluan dan hiliran minyak dan gas, tetapi turut melibatkan projek-projek tenaga hijau yang kian berkembang.

“Kerjasama ini turut merangkumi projek-projek tenaga hijau, termasuk pembangunan hidrogen dan penjanaan elektrik hatta sejajar dengan aspirasi Sarawak ke arah masa depan yang lestari dan berinovasi,” katanya.
Ini selaras dengan matlamat Sarawak untuk menjadi hab tenaga hijau di rantau Asia Tenggara menjelang tahun-tahun mendatang, sejajar dengan dasar pembangunan rendah karbon dan kepelbagaian sumber tenaga.
Menjelaskan lebih lanjut, Perdana Menteri menegaskan, setiap projek dan inisiatif di bawah persefahaman tersebut perlu melalui penilaian komprehensif dari segi daya maju komersial dan teknikal bagi memastikan pulangan optimum dan manfaat kepada rakyat.
“Saya percaya, segala perbincangan lanjut berkaitan pelaksanaan kerjasama ini hendaklah dibuat berdasarkan penilaian dari segi daya maju komersial dan teknikal,” ujarnya.
Langkah ini menurut Anwar, adalah sebahagian daripada strategi jangka panjang untuk memacu pertumbuhan ekonomi negara melalui penerokaan potensi baharu dalam sektor tenaga, sekali gus menjamin kemakmuran rakyat.
“Moga usaha yang dimeterai hari ini akan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi negara dan negeri Sarawak, demi kesejahteraan seluruh rakyat,” tambah beliau.
Majlis menandatangani persefahaman ini disifatkan sebagai simbol komitmen kerajaan dalam memperkukuh kerjasama Persekutuan–Negeri, di samping mendepani cabaran global menerusi pemodenan industri tenaga nasional.
Dengan pelaksanaan persefahaman ini, Malaysia kini berada di landasan lebih kukuh untuk menjadi peneraju serantau dalam tenaga bersih dan mampan, sambil menjunjung hak negeri-negeri di Malaysia Timur. – Edisi 9

