Wednesday, July 22, 2026

Petronas, Petrovietnam percepat kerjasama sektor tenaga

Syarikat minyak kedua-dua negara ini sedang giat menggerakkan kerjasama dalam penjanaan kuasa dan sambungan grid dari Vietnam ke Malaysia. 

Mesti Baca

SYARIKAT petroleum negara, Petronas dan Petrovietnam akan mempercepatkan kerjasama dalam sektor tenaga di Vietnam, merangkumi aktiviti di sektor huluan dan hiliran, gas dan tenaga boleh diperbaharui. 

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, khususnya dalam sektor tenaga boleh diperbaharui, syarikat minyak kedua-dua negara ini sedang giat menggerakkan kerjasama dalam penjanaan kuasa dan sambungan grid dari Vietnam ke Malaysia. 

“Inisiatif ini selari dengan aspirasi ASEAN Power Grid (APG) yang bertujuan memperkukuh keselamatan tenaga di rantau ASEAN melalui integrasi infrastruktur tenaga,” katanya hari ini.

Perkara itu antara topik perbincangan Anwar dengan rakan sejawatannya dari Vietnam, Pham Minh Chinh semasa sesi sarapan bersama di Hanoi, hari ini.

Perdana Menteri berkata, dalam sektor tenaga, Malaysia telah secara serius dalam melabur dalam tenaga hijau.

Anwar Ibrahim dan Pham Minh Chinh mengadakan perbincangan semasa sesi sarapan di Hanoi, Vietnam. – Foto: PMO

Kata beliau, ini termasuk projek tenaga berasaskan angin di selatan Vietnam dan inisiatif besar seperti kerjasama Gentari-Petrovietnam. 

“Ia adalah cerminan langkah strategik untuk memperkukuh keselamatan tenaga serantau dan memastikan peralihan yang lebih lestari,” katanya.

Anwar berkata, kedua-dua negara berkongsi jaringan hubungan yang kukuh, malah terus diperkukuh dengan lonjakan baharu melalui Perkongsian Strategik Komprehensif. 

Kata beliau, hubung tersebut tidak sekadar perjanjian di atas kertas, tetapi satu komitmen untuk menyemarak kerjasama dalam pelbagai sektor utama yakni perdagangan, pelaburan, tenaga hijau, teknologi digital, dan keselamatan serantau.

“Kita menyaksikan pertumbuhan perdagangan yang stabil, tetapi kita tidak boleh lekas berpuas hati. 

“Malaysia melihat potensi besar dalam industri semikonduktor, kecerdasan buatan (AI), dan ekonomi digital, dan kami bersedia untuk mempercepatkan integrasi rantaian bekalan antara kedua-dua negara. 

“Pelabur Malaysia telah memainkan peranan penting dalam landskap ekonomi Vietnam, dan kami mahu melihat lebih banyak projek berimpak tinggi diterajui bersama,” kata Anwar.

Dalam pada itu, Malaysia menegaskan kepentingan mengekalkan kestabilan di Laut China Selatan, memastikan pematuhan kepada undang-undang antarabangsa, dan mempercepatkan rundingan mengenai Kod Tata Laku (COC). 

Manakala dalam isu Myanmar pula, Malaysia mendesak kemajuan yang nyata dan mampan dalam pelaksanaan Konsensus Lima Perkara (5PC) bagi mengelakkan krisis tersebur daripada terus memburuk.

Malaysia percaya bahawa hubungan yang kukuh antara negara serantau adalah kunci kepada kestabilan dan kemakmuran bersama. 

“Kita tidak boleh sekadar melihat ke belakang, tetapi perlu melangkah ke hadapan dengan strategi perencanaan yang jelas dan tindakan yang memberi dampak positif yang nyata kepada rakyat dan ekonomi negara,” katanya. – Edisi 9

Terkini

Hormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan sehingga PRU-16

SEMUA pihak diminta agar menghormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)...

Lagi Artikel Berkaitan