33.4 C
Kuala Lumpur
Thursday, March 28, 2024

Wanita warga Pakistan didakwa culik kanak-kanak

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

SEORANG wanita warga Pakistan dihadapkan di Mahkamah Sesyen Raub, Pahang hari ini, atas pertuduhan menculik seorang kanak-kanak di pusat peranginan Genting Highlands.

Kejadian culik berkenaan sebelum ini telah tular di media sosial pada 19 September lalu.

Bagaimanapun tiada kertas pertuduhan dibacakan terhadap tertuduh di hadapan Hakim Ahmad Faizadh Yahaya berikutan dia tidak memahami Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris serta tiada jurubahasa yang fasih dalam dialek Pashto.

Tertuduh, Bibi Nasihat, 42, berasal dari Pakistan diwakili Peguam Amir Khusyairi Mohamad Tanusi.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya, S.Punitha memohon mahkamah mengenakan jaminan sebanyak RM7,000 dengan dua orang penjamin warga tempatan.

Tangkap layar rakaman video TikTok yang didakwa berkaitan kes cubaan menculik kanak-kanak di Genting Highlands.

Bagaimanapun, Amir Khusyairi memohon agar jumlah jaminan dikurangkan dengan hanya seorang penjamin memandangkan hanya terdapat seorang saudara tertuduh di negara ini yang telah mendapat taraf kewarganegaraan.

Katanya tertuduh yang mempunyai anak berusia 12 tahun itu baru kira-kira sebulan datang ke Malaysia kerana mengikut suaminya yang bekerja di sebuah kedai perabot dengan pendapatan kira-kira RM1,600 sebulan.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh berdepan pendakwaan mengikut Seksyen 350 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 352 akta sama.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum penjara maksimum tiga bulan atau denda maksimum RM1,000 atau kedua-duanya sekali.

Ahmad Faizadh kemudiannya menetapkan jaminan sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin warganegara Malaysia.

Mahkamah turut mengenakan syarat tambahan dan tertuduh dikehendaki menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 1 November depan.

Sebelum ini tular dalam media sosial seorang kanak-kanak dikatakan hampir menjadi mangsa culik di pusat peranginan Genting Highlands oleh seorang wanita warga asing.

Berdasarkan video berdurasi satu minit 20 saat melalui akaun TikTok ‘@ALFITRY_AZMI52’ yang dimuat naik dalam Facebook Daily Traffic Report memaklumkan bahawa seorang kanak-kanak hampir menjadi mangsa culik oleh seorang warganegara asing. – Edisi 9

Terkini

Merakyatkan ilmu sains demi masa depan

Oleh PROF MADYA TS DR ZUL ILHAM ZULKIFLEE LUBES DALAM era di mana kemeruapan drastik, ketidaktentuan, kerumitan dan kesamaran ialah...

Lagi Artikel Berkaitan