JABATAN Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) tidak mewajibkan pemakaian pelitup muka di dalam masjid dan surau seluruh Wilayah Persekutuan, Putrajaya dan Labuan bermula esok.
Pengarah JAWI, Datuk Mohd Ajib Ismail berkata, arahan itu bagi menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Sultan Ahmad Shah.
Beliau berkata, keputusan itu juga selaras dengan ketetapan terkini kerajaan berkaitan kelonggaran prosedur operasi standrad (SOP) pencegahan Covid-19.
“Walau bagaimanapun, pemakaian pelitup muka di dalam masjid dan surau masih digalakkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, Mohd Ajib berkata, individu bergejala seperti demam, batuk dan selesema serta mereka yang berisiko tinggi seperti warga tua serta kanak-kanak amat digalakkan untuk memakai pelitup muka.
“Marilah kita semua berusaha untuk mengimarahkan masjid dan surau pada setiap masa bersama-sama ahli keluarga dan jiran tetangga agar kesejahteraan masyarakat dan negara dapat dibina,”katanya. – Edisi 9