SEORANG bayi perempuan cukup sifat ditemui di Taman Bahtera, Hulu Selangor, dalam keadaan masih bernyawa semalam.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Arsad Kamaruddin, berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 9.49 pagi daripada lelaki berusia 33 tahun yang bekerja sebagai peniaga.
Menurutnya, lelaki terbabit memberitahu terjumpa bayi itu di atas sofa di kedai makan di mana hasil siasatan polis mendapati bayi itu adalah perempuan namun bangsa masih belum dapat dikenal pasti.
“Pemeriksaan oleh pegawai perubatan mendapati bayi itu dalam keadaan sihat dan tiada kesan luka atau gigitan haiwan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Arsad berkata, siasatan lanjut dijalankan untuk mengesan suspek.
Sehubungan itu menurutnya, individu yang mempunyai maklumat boleh tampil ke mana-mana balai polis berhampiran untuk menyalurkan maklumat berhubung kejadian tersebut.
-EDISI9