27.3 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Pengedar dadah ditangkap di kedai tak jauh dari sempadan

Sepanjang tiga hari Op Tapis Sempadan dijalankan iaitu bermula 21 Julai hingga semalam, seramai 34 individu ditahan.

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

SEORANG pengedar dadah berjaya ditangkap polis dalam satu serbuan di sebuah kedai makan di Kampung Gual Sitok, Rantau Panjang, Kelantan tidak jauh dari sempadan negara.

Dalam serbuan tersebut, polis turut merampas 100 botol dadah jenis heroin yang dianggarkan bernilai RM200,000.

Serbuan pada awal pagi Jumaat lalu itu turut menahan seorang lelaki berusia 23 tahun yang dipercayai pengedar dadah.

Menurut Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun, ketika serbuan pada jam 2.36 pagi itu, suspek yang juga seorang buruh sedang minum di premis berkenaan.

“Kami menjumpai satu plastik hitam dalam pegangan tangan kiri suspek yang mengandungi 100 botol heroin seberat 546.4 gram dan dianggarkan bernilai RM200,000.

“Polis percaya dadah itu dibawa masuk dari negara jiran memandangkan lokasi serbuan adalah berhampiran dengan sempadan untuk dipasarkan di sekitar Kelantan.

“Hasil ujian saringan yang dibuat mendapati suspek positif dadah jenis morfin namun tidak memiliki rekod lampau,” katanya di Kota Bharu, hari ini.

Dalam satu lagi serbuan berlainan di Kampung Repek, Pasir Mas, sebanyak 2,000 pil kuda dijumpai di bawah tempat duduk pemandu dalam sebuah kereta.

Rampasan yang dibuat pada jam 5.06 pagi Khamis lalu di hadapan sebuah rumah itu membawa kepada penahanan seorang buruh berusia 34 tahun yang memiliki empat rekod lampau.

“Pemeriksaan dalam kenderaan itu menemui satu bungkusan plastik yang berisi 10 paket plastik biru mengandungi 2,000 pil kuda dianggarkan bernilai RM20,000.

“Turut dirampas adalah wang tunai bernilai RM650 yang dipercayai hasil jualan dadah,” katanya.

Menurut beliau, kedua-dua suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula dari tarikh tangkapan dan siasatan dibuat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

“Sepanjang tiga hari Op Tapis Sempadan dijalankan iaitu bermula 21 Julai hingga semalam, seramai 34 individu ditahan.

“Dalam operasi yang dibuat di beberapa daerah yang bersempadan dengan negara jiran itu, pelbagai jenis dadah bernilai RM230,165 turut dirampas,” katanya.

-EDISI9

Terkini

Beras dibuang di tapak pelupusan sampah tidak selamat dimakan

BERAS yang didakwa dibuang di tapak pelupusan sampah di Temerloh, Pahang didapati telah rosak dan tidak sesuai serta tidak...

Lagi Artikel Berkaitan