28.6 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

Pendekatan kerajaan tangguh, batal projek kurang bijak – Najib

Projek usahasama kerajaan-swasta yang tidak melibatkan dana kerajaan dan dibiayai pihak swasta ataupun kerjasama dengan negara asing patut diteruskan.

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

PENDEKATAN kerajaan untuk menangguh atau membatalkan mana-mana projek yang belum dilaksanakan bagi memberi lebih tumpuan kepada beban subsidi dilihat sebagai langkah kurang bijak.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, dua cabaran utama dunia ketika ini adalah kadar inflasi yang tinggi dan juga kemelesetan ekonomi dunia terutamanya Amerika Syarikat menaikkan kadar faedah bank dengan laju untuk melawan inflasi.

“Jadi, pendekatan kerajaan untuk tangguh dan batal projek untuk memberi lebih tumpuan kepada beban subsidi adalah kurang bijak.

“Ya, kekalkan subsidi untuk kawal subsidi dan memberi sedikit kelegaan kepada rakyat adalah patut tapi langkah ini tidak membawa kepada pendapatan baru, tak naikkan gaji, tidak memberi kemudahan baharu kepada rakyat, tak galakkan pelaburan baharu dan tidak menjana peluang pekerjaan baharu,” katanya menerusi Facebook beliau hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed semalam, yang memaklumkan kerajaan sedang meneliti langkah menangguh atau membatalkan projek yang belum dilaksanakan dalam usaha menjimatkan perbelanjaan kerajaan dan menstabilkan ekonomi negara.

Najib berkata, cara untuk membantu rakyat dalam ketika kadar inflasi dunia tinggi bukan sahaja dengan memberi subsidi untuk kawal harga tetapi dengan juga menaikkan gaji rakyat, selain membina kekayaan rakyat melalui pasaran saham dan tabung simpanan rakyat dan memberi peluang untuk rakyat meniaga.

“Hutang negara juga boleh terkawal sekiranya kadar pertumbuhan ekonomi adalah lebih laju berbanding kadar kenaikan hutang dan kadar kenaikan bayaran servis hutang.

“Sebab itu, projek-projek yang membawa kepada kadar pulangan ekonomi lagi besar berbanding kos faedah hutang ataupun tidak menggunakan dana bajet tahunan kerajaan secara terus patut diteruskan,” katanya.

Menurutnya, projek-projek usahasama kerajaan-swasta yang tidak melibatkan dana kerajaan dan dibiayai pihak swasta ataupun kerjasama dengan negara asing patut diteruskan.

Beliau turut menjangkakan inflasi dunia akan lega tidak lama lagi berdasarkan kenaikan luar biasa tinggi kadar faedah serta harga komoditi yang sudah menjunam sejak bulan lalu.

Advertisements

“Projek kerajaan terutamanya projek yang saiznya signifikan memerlukan masa yang panjang untuk digerakkan dan dilaksanakan.

“Jadi, bila batal atau tangguhkan projek ia memerlukan masa yang lebih lama untuk kerajaan hidupkan semula projek sekiranya perlu untuk merancakkan ekonomi apabila kita berdepan kemelesetan. Masa itu kita akan terlambat bertindak,” katanya.

Menurutnya, tiada gunanya jika harga barang terkawal tetapi ekonomi negara menjadi corot memandangkan negara bakal berdepan dengan kemelesetan ekonomi tak lama lagi.

“Jangan short-sighted. Nanti negara jatuh ke keadaan staglation (iaitu inflasi masih tinggi tapi ekonomi turut meleset) baru kita kesal.

“Jangan lihat masalah di depan mata sahaja tetapi tak nampak cabaran yang bakal berlangsung tak lama lagi,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan perlu proaktif untuk bersedia menyelesaikan masalah masa depan dan bukan hanya reaktif untuk selesaikan masalah ketika ini sahaja.

Mustapa turut dilaporkan berkata, langkah itu (menangguhkan projek) sebagai menyahut arahan dikeluarkan menerusi Pekeliling Perbendaharaan Malaysia bertajuk “Garis Panduan Penjimatan Perbelanjaan Awam”.

“Saya sudah mengadakan mesyuarat dengan pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) mengenai kedudukan kewangan untuk melihat projek-projek yang belum bermula.

“Jadi kalau ia belum bermula, tidak payah buat lagi, manakala kalau ada yang sudah bermula, kita akan bincang tentang perkembangan mana satu kita perlu, sama ada tangguh atau batalkan,” katanya.

Jumaat lalu media melaporkan berhubung kementerian, jabatan, agensi, badan berkanun persekutuan dan syarikat terhad dengan jaminan (CLBG) diarah menerusi Pekeliling Perbendaharaan Malaysia untuk melaksanakan langkah penjimatan dalaman dengan mengoptimumkan perbelanjaan.-Edisi 9

Advertisements

Terkini

Apabila kita terlampau berlebih-lebihan meraikan Syawal

Oleh DR MOHD ISTAJID MOKHTAR BARANGKALI Malaysia merupakan antara negara Islam paling berlebih-lebihan dalam menyambut Aidilfitri. Tidak seperti negara-negara Islam Timur...

Lagi Artikel Berkaitan